Hasrat peminat menyaksikan Misha Omar kembali beraksi solo di pentas bakal menjadi kenyataan melalui Misha Omar Back To Basic Showcase di Odeum At Jiospace, Petaling Jaya, pada 21 Disember ini.
Biarpun memilih panggung kecil berbanding tiga tahun lalu apabila konsert solo pertama dipentaskan di Istana Budaya, di sini, namun, Misha berjanji persembahan itu menghiburkan dan lebih penting, intim dengan peminat.
“Mengapa Misha Omar Back To Basic Showcase berskala kecil bukan sebuah konsert mega adalah kerana saya suka memulakan sesuatu dengan langkah kecil sebelum mencetak sejarah yang lebih besar.
“‘Showcase’ ini adalah sebagai suatu apresiasi buat peminat yang tidak pernah berpaling daripada mendukung dua dekad karier saya dalam dunia nyanyian.
“Bahkan ‘showcase’ ini juga saya anjurkan khas buat peminat yang sentiasa bertanya mengenai bila saya akan menghiburkan mereka secara langsung,” katanya hari ini.
Misha yang mula meledak menerusi lagu Bunga-Bunga Cinta turut menggambarkan ‘showcase’ itu sebagai acara ‘pemanas’ sebelum konsert mega dipentaskan, lapor BH Online.
“Sebagai penghibur yang sudah dua dekad berada dalam belantika muzik malah masih mampu kekal relevan, bohong jika saya katakan tidak punya mimpi mengadakan konsert besar-besaran.
“Ironi, saya sendiri penyanyi yang juga tidak mementingkan soal sudah lama dalam industri maka perlu bikin konsert, tetapi, lebih memilih melakukan kerja secara berperingkat.
“Mana tahu bermula dengan persembahan berskala kecil ini menjadi ‘pintu’ menuju konsert mega pada masa akan datang? Kita doa bersama,” kata penyanyi kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang ini.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai konsep ‘showcase’ anjuran Double M Productions itu, Misha akan menghiburkan peminat selama 90 minit dengan iringan pemuzik berprofil tinggi. – Agensi