Impian peminat mahu menyaksikan Misha Omar mengadakan persembahan berskala besar tercapai apabila penyanyi itu tampil dengan Konsert DiA Misha Omar pada 29 November depan.
Memetik laporan mStar, Misha atau Samihah @ Aisah Omar, 43, menyifatkan konsert yang bakal berlangsung di Mega Star Arena itu sebagai sejarah penting selepas 20 tahun bergelar penyanyi.
“DiA Misha Omar bukan hanya tentang saya seorang tapi tentang bagaimana perjuangan karier yang telah menapak lebih 20 tahun dan disokong penuh oleh pemain industri dan peminat.
“Siapa sangka saya berjaya melewati hitam putih 20 tahun sebagai seorang penghibur dan konsert ini adalah titik destinasi baharu yang akan saya cipta dengan sejarah baik dan manis bersama anda semua,” katanya.
Kata Misha, dia tidak pernah mempunyai kelab peminat sepanjang bergelar penyanyi namun sentiasa percaya dengan karya-karya bermutu yang dimiliknya.
Dia juga menyifatkan konsert berskala besar ini sebagai sebuah ‘riwayat cinta’ buat peminat yang sentiasa menyokongnya selama ini.
Sementara itu, Double M Production menjelaskan Konsert DiA Misha Omar bukan kesinambungan kepada showcase berskala kecil yang berlangsung, Disember lalu.
Mengenali Misha Omar secara peribadi, pihak produksi menyifatkan penyanyi itu seorang penghibur yang sederhana tetapi meninggalkan impak yang besar di sebalik setiap pekerjaan yang dilakukan. – Agensi
