Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Misha terharu Melly buat kejutan

    Misha Omar tidak dapat menyembunyikan rasa terkejut dan terharu apabila komposer terkenal dari Indonesia, Melly Goeslaw, membuat kejutan dengan menghadiri majlis pelancaran single terbaharu berjudul, Break, kelmarin.

    Menganggap kehadiran ‘Ratu Runut Bunyi’ itu sebagai suatu penghormatan besar, Misha atau nama sebenar, Samihah @ Aisah Omar, 44, menyifatkan detik itu sebagai antara yang paling berharga sepanjang kerjayanya.

    “Saya benar-benar terharu kerana suara saya didengari sosok hebat dari seberang. Ini suatu bentuk apresiasi yang sangat saya hargai.

    “Awalnya, saya terlihat kelibat seseorang yang seakan-akan Melly, namun, saya harus kekal fokus kerana Datuk Syafinaz Selamat berada di hadapan saya.

    “Namun, sebaik beliau menyanyi bersama saya, saya sangat teruja dan bersyukur,” katanya kepada pemberita, kelmarin.

    Misha terharu Melly membuat kejutan dengan menghadiri majlis pelancaran single Break di Kuala Lumpur, baru-baru ini. – Utusan Malaysia

    Lebih membuatkan Misha terharu, Melly mengakui selama ini menganggap dia sebagai idola.

    Pada majlis itu, Melly yang pertama kali bertentang mata dengan penyanyi Sampai Bila dan Bunga-Bunga Cinta itu dilihat tidak dapat menahan sebak, malah, menitiskan air mata ketika mendengar Misha mendendangkan lagu Pulangkan.

    “Saya peminat tegar filem seram, termasuk Pontianak Harum Sundal Malam 1 & 2. Misha yang menyanyikan lagu runut bunyi filem itu benar-benar menyentuh hati saya.

    “Bukan mudah mencari penyanyi yang mampu menghayati sesebuah lagu hingga menjadikan babak dalam filem terasa hidup. Tadi, ketika Misha menyanyikan Pulangkan, saya menangis,” katanya.

    Mengulas mengenai kolaborasi mereka dalam penghasilan lagu Break, Melly berkata, idea tercetus selepas mereka berhubung melalui media sosial.

    “Selepas konsert pertama saya di Kuala Lumpur, saya hantar mesej kepada Misha untuk mengucapkan terima kasih kerana hadir.

    “Misha kemudian menyuarakan hasrat mahu lagu daripada saya. Saya terus berikan dua lagu kepadanya. Namun, projek itu tidak terus dirakam dan saya sangka tidak diteruskan.

    “Sehinggalah saya menerima foto daripada Tohpati (penggubah lagu Break) bersama Misha di studio,” katanya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda