Oleh Nurdiyanah R.
TUTONG, 31 Ogos – Dengan hasrat untuk terus menjaga keindahan dan kebersihan kampung di negara ini, seramai 12 orang ahli Kumpulan Libasan Amal telah meneruskan misi kesukarelawan mereka dengan bergotong-royong membersihkan kawasan Sekolah Rendah Birau dan Masjid Kampung Birau, pagi tadi.
Turut hadir mengikuti kempen tersebut ialah Ketua Kampung Birau, Haji Burhanuddin bin Haji Hashim yang juga selaku ketua kumpulan berkenaan.
Kempen melibatkan kerja-kerja memotong rumput dan pohon-pohon yang terbiar serta mengganggu di sekitar kawasan sekolah berkenaan.
Dengan adanya kempen kebersihan ini, Kumpulan Libasan Amal akan dapat bekerjasama dengan pihak sekolah dan penduduk kampung dalam menyemai sikap suka menjaga kebersihan seperti yang digalakkan dalam Islam di samping dapat memupuk sikap prihatin kepada masyarakat dalam suasana suka mahupun duka.
