JAKARTA, 14 MAC – Renjer Indonesia bersama seorang penjinak haiwan sedang memburu beberapa ekor harimau Sumatera yang hampir pupus selepas dua penduduk kampung baru-baru ini terbunuh dalam serangan berasingan yang telah mencetuskan kemarahan penduduk tempatan, kata pegawai hari ini.
Empat orang diserang ketika bercucuk tanam di dalam kawasan rizab yang dilindungi sebuah taman negara di Provinsi Lampung di pulau Sumatera dalam beberapa minggu kebelakangan ini dan pegawai berjanji untuk menangkap kucing besar yang bertanggungjawab.
“Kami mengesyaki terdapat lebih daripada seekor harimau yang menakutkan penduduk kampung,” kata Sugeng Hari Kinaryo Adi, seorang renjer di Taman Negara Bukit Barisan.
Harimau Sumatera – yang menjadi sasaran pemburu haram – dianggap sangat terancam oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi, dengan kurang daripada 400 dipercayai masih tinggal di alam liar.
Haiwan tersebut juga terjejas oleh konflik yang semakin meningkat dengan manusia dan penebangan hutan yang meluas yang telah mengurangkan habitat semula jadinya.
Insiden itu berlaku antara akhir Februari dan 11 Mac, menyebabkan seorang lelaki berusia 28 dan 47 tahun maut akibat kecederaan yang dialami, kata Sugeng.
Sepasukan yang terdiri 10 orang termasuk penjinak haiwan, doktor haiwan dan renjer hutan telah memulakan pencarian. Tiada petunjuk bahawa serangan itu dilakukan oleh harimau yang sama.
“Kami akan mula bergerak hari ini, membuat perangkap dan memetakan laluan di mana harimau itu akan melaluinya,” kata Dito, doktor haiwan yang terlibat dalam pemburuan tersebut, kepada AFP.
“Kami harap penduduk kampung dapat menjauhkan diri dari kawasan yang biasa dilalui harimau supaya tiada lagi mangsa.” – AFP