Wednesday, February 5, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Misi cari mangsa nahas helikopter diteruskan

    SYDNEY, 31 JULAI – Misi mencari anggota tentera Australia yang hilang selepas helikopter yang dinaiki terhempas di perairan Queensland diteruskan pada hari ini, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

    Empat anggota hilang selepas helikopter MRH-90 Taipan karam di perairan berhampiran Pulau Hamilton ketika menyertai latihan ketenteraan pada Jumaat, kata menteri untuk petugas pertahanan, Matt Keogh.

    “Misi mencari sedang berjalan melibatkan anggota Angkatan Pertahanan Australia dan rakan-rakan kami dari Angkatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS), serta perkhidmatan kecemasan Queensland.

    “Misi mencari itu dijalankan dalam persekitaran yang mencabar. Kami telah menjumpai sebahagian serpihan pesawat yang sedikit sebanyak akan membantu misi mencari kami,” kata Keogh.

    Keogh berkata kira-kira 50 helikopter MRH-90 telah direhatkan dan tidak beroperasi buat sementara waktu.

    Beliau berkata helikopter itu dijadualkan menamatkan operasinya pada akhir tahun depan, namun, masih terlalu awal untuk membuat spekulasi kerana siasatan masih berjalan.

    Helikopter itu menyertai Latihan Talisman Sabre, melibatkan hampir 30,000 kakitangan dari 13 negara, termasuk Jerman, AS dan Perancis.

    Latihan dihentikan selepas kejadian itu, tetapi disambung semula pada Sabtu, kecuali aktiviti khas di Whitsundays masih ditangguhkan. – Bernama

    Kelasi dari HMAS Brisbane bersedia untuk menaiki bot kembung berkulit tegar untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat di sekitar Pulau Lindeman, Australia pada 29 Julai 2023, sebagai sebahagian daripada usaha mencari dan menyelamat berbilang negara dan pelbagai agensi berikutan sebuah helikopter MRH-90 Taipan Tentera Australia yang terhempas di perairan berhampiran pulau itu. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda