ROMANTIK dan komedi adalah dua elemen yang digandingkan dalam sebuah siri drama terbaru keluaran Suhan Movies & Trading yang berjudul Duda Pujaan Dara.
Kamal Adli, Zahirah Macwilson dan Rania Humairah telah dipilih untuk menjadi pelakon utama dalam menjayakan siri drama yang diadaptasi dari novel karya Hanny Esandra.
Selain itu, siri drama arahan Jamal Khan ini juga turut dibinatngi oleh Isyariana, Nazierah Amin, Aprena Manrose, Kuna Muzani, Rahim Jelani, Betty Banafe, Zazly Baginda, Farisha Irwayu, Syafiq Nazri, Jasmine Ashraff, Nurul Hijanah, Rozilawati dan Ahmad Zulhilmi.
Pada dasarnya, ia mengisahkan mengenai seorang anak dara bernama Ainee Marwah lakonan Zahirah Macwilson yang menanam cita-cita untuk memilih seorang lelaki duda sebagai calon suaminya.
Ainee Marwah telah bertemu dengan Tengku Razeen lakonan Kamal Adli, seorang duda yang beranak satu.Dia merupakan bos di tempat kerja anak dara tersebut.

Tengku Razeen adalah seorang duda yang telah kematian isteri dan mahu mencari pengganti demi anak tercinta, Tengku Rafanda.
Sikap Ainee Marwah yang gedik mahukan duda membuatkan dia merancang bermacam-macam cara untuk memikat si duda pujaan. Senyum sudah, langgar bahu sudah, main mata sudah, malah jatuh tergolek pun Ainee Marwah sanggup demi mahu menarik perhatian Tengku Razeen.
Usaha bagai nak rak, tetapi lelaki itu tetap kaku macam paku. Seperkara lagi yang membuatkan Ainee Marwah sakit hati, Tengku Razeen cair hati pula bila bersama dengan Dora yang Ainee Marwah gelar Doraemon.
Rasa mahu berhenti jantung Ainee Marwah bila Tengku Razeen tiba-tiba melamarnya. Bercinta dengan Dora, tapi dia yang dilamar.
Mencabar rupa-rupanya berkahwin dengan lelaki bergelar duda.
Sakitnya hati bila suami tidak romantik. Tapi, Ainee Marwah tidak berputus asa. Kalau sebelum kahwin dia sudah nakal, selepas berkahwin bertambah nakal. Dia sanggup lakukan apa sahaja untuk beli hati Tengku Razeen.
Lalu, apakah kesudahan drama ini adakah Ainee Marwah berjaya menawan hati duda pujaannya dan untuk mengetahuinya jangan terlepas untuk terus menonton siri drama Duda Pujaan Dara yang disiarkan setiap hari Isnin hingga Khamis pukul 10 malam di saluran Astro Ria 104 dan Ria HD 123.