NEW DELHI, 11 NOV – Misi diplomatik asing menyatakan rasa dukacita dan solidariti susulan letupan membabitkan sebuah kereta berhampiran Red Fort di New Delhi, yang telah mengorbankan kira-kira 10 orang dan mencederakan kira-kira 20 yang lain, menurut pihak berkuasa India.
Beberapa negara turut mengeluarkan nasihat perjalanan yang menggesa rakyatnya di India supaya mengelak kawasan sesak dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.
Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di India menyampaikan ucapan takziah dan memaklumkan, pihaknya sedang memantau rapi perkembangan kejadian itu.
Kedutaan berkenaan turut mengeluarkan amaran keselamatan dan menasihati rakyat AS supaya menjauhi kawasan Red Fort dan Chandni Chowk, sentiasa berwaspada di lokasi tumpuan pelancong serta mengikuti laporan media tempatan untuk maklumat terkini.
Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Britain ke India turut bersimpati dan mengeluarkan kemas kini nasihat perjalanan, menyeru orang ramai di sekitar kawasan kejadian agar mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.
Duta Argentina dan Perancis turut menyampaikan ucapan takziah bagi pihak kerajaan masing-masing dan mendoakan pemulihan segera buat mangsa yang cedera.
Kedutaan Maghribi di India juga mengucapkan takziah dan sokongan kepada mangsa yang cedera, manakala Pesuruhjaya Tinggi Australia ke India mendoakan agar mangsa yang cedera kembali pulih.
Menurut perkhidmatan bomba, letupan berlaku berhampiran Pintu No. 1 stesen metro Red Fort dan mencetuskan kebakaran yang merosakkan beberapa kenderaan berdekatan. – Bernama


