BERLIN, 25 Sept – Borussia Dortmund mahu mengekalkan rekod tanpa kalah mereka di gelanggang sendiri menentang Real Madrid dalam aksi Liga Juara-Juara dan merosakkan penampilan ke-150 Cristiano Ronaldo di pentas Eropah.
Dortmund dan pemegang gelaran Real akan bertembung dalam peringkat kumpulan buat kali kedua berturut-turut.
Kedua-dua pasukan seri 2-2 dalam dua pertembungan mereka musim lepas ketika pasukan Jerman itu mengungguli kumpulan sebelum tersingkir dalam peringkat lapan terakhir sementara Real memenangi gelaran ke-12.
Dortmund telah memenangi tiga dan seri tiga dalam pertembungan mereka di Signal Iduna Park, termasuk kemenangan bergaya 4-1 perlawanan pertama separuh akhir Liga Juara-Juara 2013, menyaksikan Robert Lewandowski menjaringkan kesemua gol.
Juara bertahan, Real memulakan kempen peringkat kumpulan dengan kemenangan 3-0 di laman sendiri ke atas APOEL, sementara Dortmund mengalami kekalahan 3-1 di Tottenham Hostpur dua minggu lalu.
Tugas utama pasukan Jerman itu adalah mengekang pemenang empat kali Ballon d’Or, Ronaldo, yang sudah menjaringkan 110 gol dalam kejohanan Eropah tetapi gagal menembusi gawang dalam dua perlawanan terakhirnya.
Bintang Portugal itu merupakan antara calon tiga terakhir Pemain Lelaki Terbaik FIFA 2017 dan pemenang akan diumumkan pada 23 Oktober.
Dortmund memasuki perlawanan pagi Rabu ini dengan penuh keyakinan dengan membelasah Borussia Moenchengladbach 6-1 dalam liga Jerman hujung minggu lalu, menyaksikan Pierre-Emerick Aubameyang mencipta hatrik.
Penyerang Gabon itu kini sudah menjaringkan lapan gol dalam enam perlawanan liga.
Dia menghasilkan gandingan menarik, digelar ‘Philameyang’ oleh media Jerman, dengan pemain sayap kiri, Maximilian Philipp, yang sudah menjaringkan empat gol dalam tiga perlawanan terakhirnya.
Secara tradisinya Real mempunyai rekod buruk di Jerman, dengan 19 kekalahan, tujuh seri dan hanya menang sebanyak lima kali.
Bagaimanapun, empat kemenangan dicapai daripada tujuh kunjungan terakhir mereka dan menikmati kemenangan 2-1 Bayern Munich dalam perlawanan suku akhir musim lepas. – AFP