Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Julai – Ang Guat Lian dan Awang Mohd Sufi Syahiran bin Roslan dari Universiti Brunei Darussalam (UBD) akan mewakili Negara Brunei Darussalam di Kejohanan Universiti Dunia Wushu FISU 2018 di Macau, China pada 2 hingga 5 Ogos bertempat di Macao Forum.
Rombongan tersebut diketuai oleh Demigo Kapal dan jurulatih, Li Hui.
Sebanyak 26 buah negara akan bertanding dalam kejohanan berkenaan, antaranya Negara Brunei Darussalam, Malaysia, Indonesia, Singapura, Rusia, Hong Kong, Australia, Austria, Belanda, Amerika Syarikat, Turki dan banyak lagi.
Atlet negara akan mengadakan latihan dalam acara Sanda dan Taolu di sana pada hari ini pukul 8 malam waktu Brunei sebelum bertanding, dalam kategori Nanquan dan Nangun.

Menurut Awang Mohd Sufi, ketika ditemui berkata, ini merupakan kali pertama beliau menyertai kejohanan mewakili UBD serta peluang yang baik untuk menambah pengalaman dan meningkatkan kemahiran.
“Saya berharap akan dapat memberikan yang terbaik dan mengharumkan nama baik UBD dan juga Negara Brunei Darussalam. Menyertai pertandingan ini juga amat baik untuk persiapan Sukan Asia di Jakarta nanti,” tambah beliau.