Monday, November 18, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Misi hidupkan semula seni atap buluh

    Gambar AFP

    BREITENBRUNN, AUSTRIA – Pada suatu ketika dahulu, kebanyakan rumah di kawasan penanaman anggur yang cantik di Burgenland, Austria timur, mempunyai atap jerami.

    Namun sekarang, rumah Jacobus van Hoorne adalah satu-satunya di seluruh kawasan itu yang mempunyai atap buluh.

    Dan untuk mendapat kelulusan, beliau terpaksa berjuang selama dua tahun dengan pihak berkuasa tempatan, sehinggakan akhirnya beliau terpaksa membakar sebuah model rumah dengan atap buluh untuk membuktikan bahawa rumahnya tidak akan berisiko dijilat api.

    “Awda hampir tidak dibenarkan mempunyai atap buluh di Austria,” kata Van Hoorne. “Awda perlu mencari jalan keluar, yang mengambil masa yang lama.”

    Dengan kemenangan undang-undangnya, ahli fizik partikel CERN yang kini menjadi pembuat atap buluh berharap untuk menghidupkan semula seni purba ini sebagai sebahagian daripada pembinaan rumah yang lebih mampan, terutamanya apabila buluhnya datang dari tasik air masin yang disenaraikan UNESCO di kawasan tersebut.

    Van Hoorne dan pekerjanya menuai buluh berhampiran Tasik Neusiedl di Breitenbrunn, Austria pada 9 Mac 2023.
    Van Hoorne bergambar di hadapan rumahnya yang mana dia membina bumbung buluh di Weiden am See, Austria baru-baru ini.
    Van Hoorne, seorang bekas ahli fizik berusia 37 tahun di CERN dan kini petani buluh, dan pekerjanya menuai buluh berhampiran Tasik Neusiedl di Breitenbrunn, Austria pada 9 Mac 2023.
    Van Hoorne memeriksa tanaman buluhnya.
    Van Hoorne bergambar di hadapan timbunan buluh di tempat simpanannya di Weiden am See, Austria pada 9 Mac 2023.

    “Ia bukan sahaja bahan mentah semula jadi, tetapi juga mempunyai ciri-ciri penebatan yang hebat,” kata beliau kepada AFP.

    “Atap seperti itu hanya terdiri daripada buluh dan wayar keluli. Ia tidak dikenakan apa-apa rawatan. Awda boleh mengkompos dan mengitar semula wayarnya. Alam sekitar, bahan binaan, dan kemahiran. Ia sungguh indah,” tambahnya.

    Menurut saintis kelahiran Belanda itu, atap buluh dapat bertahan selama kira-kira 40 tahun dan berbeza dengan bahan konvensional yang memerlukan pembakaran karbon yang banyak untuk dihasilkan, buluh sebaliknya membantu menyimpannya.

    Penangkap karbon

    Seperti jerami dan tanah, ia mempunyai jejak karbon yang hampir tidak ketara, kata Azra Korjenic, ketua Jabatan Teknologi Bangunan Ekologi di Universiti Teknologi Vienna.

    Sebenarnya, kawasan rawa dan paya tempat buluh tumbuh adalah beberapa penyerap karbon utama planet ini, melampaui hutan dan padang rumput, menurut Atlas Tanah 2015.

    Namun, salah satu halangan terbesar terhadap kelestarian adalah industri pembinaan yang lebih gemarkan modul pembinaan pra-siap berbanding bahan ekologi, tambah Korjenic.

    Peraturan dan norma semasa juga menghalang penggunaan bahan pembinaan semula jadi.

    Sebagai satu-satunya tukang atap buluh Austria, khidmat Van Hoorne dan ayahnya sangat dicari-cari, dan mereka juga mengusahakan tanaman buluh mereka sendiri secara tempatan.

    Namun, hal ini tidak mudah dilaksanakan disebabkan oleh harga yang murah dan kemarau yang membantut kadar pertumbuhan buluh dengan pemanasan iklim, katanya.

    Beliau dan empat petani buluh lain yang tinggal di Austria juga menghadapi persaingan sengit dari China, yang mempunyai 80 peratus pegangan dalam pasaran Eropah.

    Dengan pelanggannya buat masa ini datangnya dari England dan Belanda, ‘menghantar sebuah kontena dari Shanghai ke Rotterdam mengambil kos sekitar AS$2,000 iaitu sama
    seperti kos sebuah trak dari Austria,’ katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda