Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OGOS – Belia Berbakti Group dengan kerjasama Bahagian Pembangunan Mualaf, Pusat Dakwah Islamiah (PDI) serta disokong oleh Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan mengadakan Majlis Pelancaran Misi Jelajah Menyantuni Masyarakat Edisi Kedua di Dewan Serbaguna, PDI kelmarin.
Majlis berkenaan diadakan bersempena Next20Movement Hari Belia Kebangsaan dan diisikan dengan penyerahan sumbangan kepada 50 penerima yang terdiri daripada 15 mualaf berdaftar dengan Bahagian Pembangunan Mualaf, serta 35 penerima daripada kalangan ibu tunggal, warga emas dan keluarga kurang berkemampuan.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan. Turut hadir, Pengarah PDI, Ustaz Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Belia Berbakti, Muhammad Amirul Aqil bin Abdullah Ang; pegawai-pegawai PDI; Ahli-Ahli Penasihat Belia Berbakti serta para jemputan.
Sumbangan-sumbangan berkenaan ditaja oleh Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), Darussalam Holdings Sdn Bhd, Insuran Islam TAIB Holdings Sdn Bhd, Syarikat Perniagaan Malar Setia, Syarikat Perniagaan Muneera, serta Syarikat Pengangkutan Neha.
Menurut pihak penganjur, misi jelajah ini bertujuan untuk meringankan beban golongan yang memerlukan akan diteruskan lagi pada masa akan datang.
Semua di atas:Antara yang menerima sumbangan.

