Tuesday, July 15, 2025
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Misi kecemasan selamatkan ikan paus di perairan Sydney

    SYDNEY, 9 JUN – Pasukan penyelamat hidupan liar meneroka pesisir timur Australia hari ini bagi mencari dan melepaskan seekor ikan paus humpback yang berada dalam keadaan tertekan selepas terjerat tali.

    Rakaman dari udara menunjukkan ikan paus itu sedang berenang di selatan Pelabuhan Sydney dengan tali yang terikat pada pelampung mengheret di belakangnya.

    “Ia menyukarkan ikan paus untuk menyelam,” kata seorang anggota kumpulan penyelamat paus ORRCA, Pip Jacobs.

    Tambahnya, keadaan itu turut menyebabkan paus berkenaan semakin lemah kerana sudah berada dalam keadaan tertekan akibat terjerat.

    Menurut Jacobs, ikan paus itu dianggarkan sepanjang lapan meter, menunjukkan ia masih ‘agak muda’. Tali tersebut kelihatan terbelit pada sirip dada kiri paus itu, katanya.

    Gambar ini menunjukkan seekor ikan paus yang telah diselamatkan oleh kumpulan penyelamat paus ORRCA di Australia pada 9 Jun. – AFP

    “Cara pergerakannya agak tidak menentu. Ia sedang bergerak ke arah selatan, yang agak luar biasa.

    “Sepatutnya haiwan itu bergerak ke utara sebagai sebahagian daripada migrasi mereka,” kata Jacobs kepada AFP.

    Tambahnya, pasukan sukarelawan dan pakar penyelamat hidupan liar ketika itu sedang menelusuri pesisiran pantai untuk mengenal pasti lokasi ikan paus tersebut.

    Namun, usaha itu terhalang oleh keadaan laut yang bergelora dan tiupan angin kencang.

    “Jika keadaan mengizinkan dan kita dapat mengesan paus itu, dalam senario terbaik adalah kita berjaya melepaskannya daripada jeratan.

    “Jika ia sedang mengheret peralatan seperti tali atau pelampung, itu menyukarkan pergerakannya untuk berenang bebas.

    Senario paling buruk ialah paus itu tidak dapat makan atau berenang,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda