Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan Kementerian Pertahanan
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 SEPT – Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), hari ini, telah mengadakan Majlis Penyerahan Bendera Negara Brunei Darussalam kepada anggota yang akan menyertai Batalion Malaysia 850-9 (MALBATT 850-9) dalam penugasan misi pengaman Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) berlangsung di Bolkiah Garison.
Acara pagi tadi itu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Kapten Mohd Farid bin Mohd Raffi dari Jabatan Agama (JA’MAAT) yang juga merupakan salah seorang anggota yang akan mengikuti misi tersebut.
Kemudian acara diteruskan dengan Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah bin Haji Sahat menyempurnakan penyerahan bendera kepada Mejar Mohamad Yusddy Affenddy bin Haji Amran selaku ketua kontinjen Negara Brunei Darussalam.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah pemerintah angkatan bersama, ketua staf ABDB dan pengarah keanggotaan.
