ULASAN BUKU OLEH RAZ AS
SETELAH bersusah payah melarikan diri daripada genggaman ‘The Guard’, Sefia dan Archer kembali menjadi pelarian, menyelamatkan diri mereka mencari perlindungan di dalam hutan untuk mengubati kecederaan dan merancang langkah yang harus mereka ambil seterusnya.
Dihantui oleh memori-memori kelam, Archer bergelut untuk mengatasi trauma daripada masa silamnya bersama musuh yang berlaku kejam terhadapnya setiap kali dia cuba untuk melelapkan matanya.
Tetapi apabila Sefia dan Archer bertembung dengan sekelompok musuh di hutan tersebut, Archer akhirnya berjaya mencari jalan untuk menghilangkan mimpi ngerinya, dengan memburu mereka dan membebaskan kanak-kanak yang menjadi tawanan.

Dengan bantuan Sefia, Archer merentas ke seluruh kerajaan Deliene untuk membebaskan tawanan, manakala Sefia sendiri meneruskan penyiasatannya terhadap sebuah buku misteri dan rahsia-rahsia isi kandungannya.
Walau bagaimanapun, semakin banyak pertempuran yang mereka hadapi, semakin banyak pertempuran yang diidamkan oleh Archer, sehinggalah dia berubah daripada seorang budak lelaki yang baik hati menjadi seorang pahlawan yang dahagakan darah.
Sefia mula membongkar perkaitan yang menghubungkan nasib Archer dengan pengkhianatan ibu bapanya terhadap The Guard satu ketika dahulu. Dia dan Archer harus mencari jalan untuk memusnahkan rancangan The Guard sebelum mereka terperangkap di antara peperangan besar yang akan menjadikan masa depan mereka termasuk kestabilan dunia musnah.