Tuesday, May 13, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Misi mencari Messi seterusnya

    BUENOS AIRES – Ramon Maddoni menunjuk kepada salah seorang kanak-kanak lelaki yang berbaju jingga di gelanggang permainan, dengan aksi kawalan bola di kakinya yang begitu lincah: “Lihat pada kanak-kanak itu, dia adalah seorang ‘fenomeno’.

    Maddoni kini berada dalam satu usaha perniagaan untuk mencari ‘fenomeno’ baharu, pemain Messi seterusnya dan Maradona baharu, pemain yang mempunyai aksi tangkas dalam arena bola sepak Argentina.

    Apabila waktu malam di Club Sociale Parque, yang berada di pinggir Buenos Aires, anak-anak muda berumur enam hingga 12 tahun kelihatan beraksi di gelanggang konkrit, menendang bola dan membuat pergerakan cepat di kaki mereka.

    Manakala ibu bapa kanak-kanak berkenaan kelihatan menunggu di sekitar pintu kompleks tersebut, menunggu untuk mengambil anak-anak mereka di akademi di mana Maddoni melihat dan memantau aksi pergerakan mereka.

    Ditubuhkan 70 tahun yang lalu, Parque menjadi nadi dan maruah penduduk kejiranan kelas pertengahan, sebuah kilang bakat sama yang telah menghasilkan Maradona dan sejumlah bintang bola sepak dunia lainnya.

    Ramon Madoni melihat kanak-kanak lelaki bermain di gelanggang bola sepak konkrit di Kelab Parque di Buenos Aires. – AFP
    Maddoni adalah ketua di Parque dan juga bahagian kelab kanak-kanak Boca Juniors. – AFP

    Legenda berusia 77 tahun itu adalah kalangan pencari bakat-bakat tersebut, Maddoni adalah ketua di Parque dan juga bahagian kelab kanak-kanak Boca Juniors.

    Dia suka untuk mengingat kembali senarai-senarai yang berjaya ‘ditemuinya’, senarai panjang dan diketahui oleh peminat-peminat bola sepak dunia: Carlos Tevez, Juan Riquelme, Fernando Redondo dan Esteban Cambiasso adalah antara lebih daripada 100 bintang yang telah ditemuinya dan kini berada di laluan bintang antarabangsa.

    Teriakan kuat terdengar apabila seseorang menjaringkan gol di gelanggang konkrit itu. Pencari bakat itu tersenyum dan berhenti seketika, kemudian menunjukkan salah seorang pemain muda di sana. “Anda cuba lihat kanak-kanak lelaki ini, yang mempunyai rambut perang. Dia mempunyai sesuatu. Namun kami perlu menjelaskan kepadanya tentang berdiri tegak dan bermain lebih pantas.”

    Maddoni dengan bangganya menggambarkan kelabnya sebagai “benih yang tidak pernah habis. Namun, walaupun mereka ini mempunyai bakat, mereka harus juga belajar.”

    Maddoni telah menjadi tonggak kepada barisan pasukan kanak-kanak Parque dan Boca Juniors selama 24 tahun yang lalu. Dia berkata dia telah diambil bekerja secara peribadi oleh presiden kelab itu, Mauricio Macri, kini ketua negara Argentina.

    Parque adalah rumahnya, di mana dia disapa dan dipeluk pada setiap kali dia memasuki kompleks kelab tersebut, setiap hari.

    Dia berhenti seketika di tepi gelanggang konkrit tersebut, di mana seorang kanak-kanak lelaki, yang memakai baju oren, berjaya melepasi tiga kanak-kanak lelaki lainnya yang memakai baju hijau, kemudian menerjah bola ke gawang gol.

    Kerjayanya ini, yang telah menyaksikan percikan bakat dalam diri anak-anak muda dan menjadikannya sebagai permata sukan, “telah menyelamatkan nyawa saya, pada usia 37 tahun, ketika saya mengalami depresi dan menghadapi perceraian.”

    Carlos Tevez, Juan Riquelme, Fernando Redondo dan Esteban Cambiasso adalah antara lebih daripada 100 bintang yang telah ditemui Maddoni, yang kini berada di laluan bintang antarabangsa. – AFP
    Maddoni kini berada dalam satu usaha perniagaan untuk mencari ‘fenomeno’ baharu, pemain Messi seterusnya dan Maradona baharu, pemain yang mempunyai aksi tangkas dalam arena bola sepak Argentina. – AFP

    Ia juga membuatkannya untuk berhenti bermain daun terup dan bertaruh pada perlumbaan kuda, menjadikannya sebagai seorang pemburu. Apa yang menyelamatkannya adalah semasa perbualannya bersama dengan bapa bintang Argentina lainnya, Sergio ‘Checho’ Batista, salah seorang ahli pasukan juara Piala Dunia 1986, yang telah meyakinkannya untuk menjadi pembimbing dan pencari bakat di kelab itu.

    Dia telah meninggalkan kerjayanya sebagai seorang pembeli daging. Dia kemudian melatih kanak-kanak sepenuh masa, bermula di Argentinos Juniors, kelab pertama Maradona. Kemudian dia pergi ke Boca. Ianya mungkin tidak begitu terkenal seperti akademi Bercelona, La Masia, namun, oleh beberapa pertimbangan, ia telah menghasilkan sekurang-kurangnya 40 bintang antarabangsa.

    Maddoni mengakui bahawa bagaimana bakat-bakat baharu yang dia telah temui boleh sahaja dijual bagi bayaran perpindahan stratosferik.

    “Saya telah melihat (bekas pemain Barcelona dan Villareal, Juan) Riquelme pada usia lapan tahun. Saya telah pergi ke Fuerte Apache untuk Tevez. Kos perpindahan adalah 20,000 peso (AS$900)!”

    Bekas bintang Manchester United dan Juventus, Tevez telah menelan belanja sebanyak AS$97 juta kos pemindahan di dalam kariernya dan setahun beraksi dalam pasukan kelab China, Shanghai Shenhua, dilaporkan menjadikannya sebagai pemain paling mahal di dunia dengan gaji mingguan sebanyak AS$899,000.

    Maddoni berkata, rahsia kejayaannya dalam menghidupkan bola sepak ini adalah mudah: “Saya akan cepat menyedari jika seorang kanak-kanak itu bagus ataupun tidak. Dengan cara dia berpusing, bagaimana dia mengawal bola tersebut.”

    Maddoni melintasi koridor di mana dinding-dinding tersebut dipenuhi dengan jersi pemainnya yang telah dihadiahkan kepadanya.

    Dia berehat seketika meminum kopi dan kembali semula ke gelanggang dengan perlahan. Dia bergelut dengan keadaan sejuk dan kian sembuh dari operasi buah pinggangnya. Dia berusia 77 tahun. Namun semangat ‘memburunya’ itu tidak akan pernah terhenti. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda