Wednesday, July 16, 2025
32.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Misi menilai Sarawak Delta Geopark bagi pengiktirafan UNESCO

    KUCHING, 17 JUN – Dua penilai terkemuka dan dihormati daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) akan menjalankan misi penilaian di lapangan bagi Geopark Delta Sarawak dari 23 hingga 26 Jun ini.

    Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan Jean-Simon Pages dari Perancis dan Antonio Garcia Jimenez dari Sepanyol akan menjalankan penilaian itu yang akan menjadi langkah terakhir serta paling penting dalam perjalanan untuk memperoleh pengiktirafan bagi menobatkan Delta Sarawak sebagai Geopark Global UNESCO.

    “Kedua-dua penilai akan membawa bersama mereka pengalaman luas dalam penilaian dan pengurusan geopark manakala penemuan mereka akan menjadi faktor penting dalam menentukan sama ada Geopark Delta Sarawak memenuhi piawaian ketat antarabangsa yang diperlukan bagi penetapan rasmi oleh UNESCO,” menurut kenyataan itu.

    Sepanjang penilaian selama empat hari itu, kedua-dua pakar akan mengunjungi pelbagai lokasi penting di seluruh kawasan Delta Sarawak yang dipenuhi kekayaan geologi, biologi dan kepelbagaian budaya.

    “Antara kawasan utama yang akan diterokai ialah Syis Tuang Semeba dan Paku Rock Maze di Bau, yang terkenal dengan ciri unik geologinya serta Rizab Alam Semula Jadi Gua Angin di Bau, yang menyerlahkan kepentingan geologi dan biologi,” katanya.

    Misi penilaian juga akan meliputi Rizab Semula Jadi Semenggoh di Padawan, yang merupakan rumah kepada pelbagai flora dan fauna selain lawatan ke Muzium Budaya Borneo dan Kampung Budaya Sarawak yang berfungsi sebagai pusat penting bagi memelihara serta mempromosikan tradisi tempatan. – Bernama

    Gambar Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda