Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Misi PBB di Iraq akan ditamatkan

    NEW YORK, 2 JUN – Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC), atas permintaan Baghdad, sebulat suara memutuskan bahawa misi politik pertubuhan itu di Iraq selama lebih 20 tahun akan berakhir pada penghujung 2025.

    Kerajaan Iraq yang mengalu-alukan keputusan itu berkata ia mencerminkan kemajuan dan kestabilan di negara itu.

    Misi Bantuan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk Iraq (UNAMI) ditubuhkan pada 2003 selepas serangan tentera bersekutu yang diketuai Amerika Syarikat (AS) bagi menjatuhkan kerajaan pimpinan Saddam Hussein.

    Bagaimanapun, penganalisis berkata misi itu bergelut untuk memberikan kesan dalam aspek tertentu dan kerap membuat keputusan dengan sewenang-wenangnya, sehingga semakin banyak negara tuan rumah menolak misi PBB di sana.

    Resolusi UNSC yang diterima pakai pada Jumaat melanjutkan mandat misi itu sehingga 31 Disember 2025 dan selepas itu, UNAMI akan menghentikan semua kerja dan operasi di Iraq.

    Misi itu menempatkan kira-kira 700 kakitangan pelbagai tugas termasuk menasihati kerajaan mengenai dialog politik dan perdamaian serta membantu mengadakan pilihan raya dan pembaharuan sektor keselamatan.

    Jurucakap kerajaan Iraq berkata keputusan UNSC menandakan ‘selesainya proses pembinaan politik yang dimulakan pada 2003 selepas kejatuhan rejim diktator’.

    Misi PBB hanya boleh dilaksanakan dengan persetujuan negara tuan rumah, dengan Rusia, China, Britain dan Perancis pada bulan ini menyuarakan sokongan berhubung perubahan itu. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda