BAMAKO, 12 DIS – Misi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Mali secara rasmi berakhir selepas penempatan selama 10 tahun di negara itu kelmarin, kata jurucakapnya, dalam penarikan diri yang diperintahkan oleh pemimpin tentera Mali.
Misi itu, dikenali sebagai MINUSMA, menurunkan bendera PBB di ibu pejabatnya di ibu negara Bamako, beritahu jurucakapnya, Fatoumata Kaba kepada AFP.
Upacara simbolik itu menandakan berakhirnya misi itu secara rasmi, katanya, walaupun beberapa elemen masih wujud.
‘Fasa pencairan’ akan berlaku selepas tarikh akhir pengunduran pada 1 Januari, melibatkan aktiviti seperti penyerahan baki peralatan kepada pihak berkuasa.
Junta pemerintah Mali, yang merampas kuasa pada 2020, pada Jun menuntut misi itu berakhir, walaupun dibelenggu keganasan jihad dan krisis lain.
Penarikan balik misi penstabilan PBB, yang dilaksanakan sejak 2013, telah mencetuskan kebimbangan pertempuran akan menjadi semakin sengit antara tentera dan puak bersenjata untuk kawalan wilayah.
MINUSMA telah mengekalkan kira-kira 15,000 askar dan polis sejak sedekad lalu di Mali. – AFP


