KATHMANDU, 13 APRIL – Pencarian dua pendaki Nepal yang hilang telah dihentikan, kata penganjur ekspedisi kelmarin, lima hari selepas mereka dihanyutkan oleh runtuhan salji yang kuat di Annapurna, gunung tertinggi ke-10 di dunia.
Annapurna setinggi 8,091 meter (26,545 kaki) merupakan pendakian yang berbahaya dan sukar, dan puncak Himalaya yang mudah terdedah kepada runtuhan salji ini mempunyai kadar kematian yang lebih tinggi berbanding Everest.
Dua malim gunung berpengalaman, Ngima Tashi Sherpa dan Rima Rinje Sherpa, sedang membawa silinder oksigen untuk mendaki puncak lebih tinggi apabila runtuhan salji besar melanda pada Isnin lalu.
“Pencarian telah dihentikan. Kami telah cuba mencari mereka dari darat dan melalui pencarian udara tetapi tidak dapat menemuinya,” kata Mingma Sherpa, pengerusi syarikat ekspedisi Seven Summit Treks, kepada AFP.
Dua helikopter dan lima pendaki telah dikerahkan dalam operasi tersebut.
“Sudah tidak mungkin bagi sesiapa untuk terus hidup di bawah salji dan ais seperti itu, dan meneruskan pencarian hanya akan membahayakan lebih banyak nyawa,” kata Seven Summit Treks di Instagram pada lewat Jumaat, mengumumkan penghentian pencarian.
“Kami telah kehilangan dua malim gunung terbaik kami.”
Nepal adalah rumah kepada lapan daripada 10 puncak tertinggi dunia dan menyambut ratusan pengembara setiap musim bunga, apabila suhu lebih hangat dan angin biasanya tenang. – AFP
