Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 APRIL – ISRA Consulting, cabang penasihat Universiti INCEIF telah menyertai Misi Diagnostik Reverse Linkage yang dianjurkan oleh Bank Pembangunan Islam (IsDB) di Brunei Darussalam dari 7 hingga 9 April lalu.
Misi itu merupakan langkah penting dalam meningkatkan kerjasama antara Brunei dan Malaysia, khususnya dalam memperkukuh-kan ekosistem kewangan Islam melalui model Ar Rahnu.
Sebagai rakan pengetahuan utama dari Malaysia, ISRA Consulting menyumbangkan kepakarannya dalam kewangan mikro patuh Sariah untuk menyokong pembangunan projek Reverse Linkage bagi Brunei.
Projek berkenaan antara lain bertujuan untuk memberi manfaat kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Brunei melalui penerapan pengalaman Malaysia dalam operasi Ar Rahnu.
ISRA Consulting diwakili Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Wan Rizaidy Wan Saufi dan Pegawai Shariah Utama, Bahroddin Badri.

Diketuai oleh Pakar Kerjasama Teknikal IsDB (Reverse Linkage), Aminuddin Mat Ariff, misi itu mengumpul pakar dari Malaysia, termasuk wakil dari Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) dan Rakyat Management Services (RMS), anak syarikat Bank Rakyat.
Semasa acara, delegasi berinteraksi secara meluas dengan pemegang kepentingan Brunei, terutama Bank Usahawan Brunei (BUB) untuk menentukan skop dan arah strategik projek yang dicadangkan.
Bagi memastikan pendekatan yang holistik dan inklusif, pasukan misi juga mengadakan perjumpaan dengan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dan Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) untuk mengukuh lagi kerjasama institusi antara kedua-dua negara.
Perbincangan tiga hari itu bertumpu pada mengenal pasti keperluan institusi utama dan memanfaatkan pengalaman kukuh Malaysia dalam kewangan mikro Islam untuk menyesuaikan penyelesaian praktikal dalam konteks Brunei.
Selain itu, pertemuan juga memanfaatkan hubungan dua hala yang erat antara kedua-dua negara dan komitmen bersama mereka untuk memajukan kewangan Islam.