DUBAI, 28 FEB – Daniil Medvedev memulakan pertahanan kejuaraannya di Kejohanan Dubai kelmarin dengan menewaskan Alexander Shevchenko 6-3, 7-5 dalam perlawanan pertamanya sejak tewas di final Terbuka Australia kepada Jannik Sinner.
Medvedev yang menjadi pilihan utama telah menarik diri daripada kejohanan di Doha dan Rotterdam kerana keletihan dan masalah kaki kanan selepas kekalahannya kepada Sinner di Melbourne Park.
Ketinggalan 5-3 pada set kedua, Medvedev memenangi empat perlawanan berturut-turut untuk meraih kemenangan. Dia akan berdepan dengan Lorenzo Sonego dalam pusingan kedua kejohanan gelanggang keras itu.
“Secara umum, sejujurnya, saya gembira dengan tahap saya kerana bukan mudah untuk kembali selepas kecederaan,” kata Medvedev yang berada di ranking keempat dunia semasa temu bual di gelanggang.
Medvedev berkata dia ‘tidak berasa sakit’ apabila menewaskan Shevchenko yang berada di ranking ke-47 dunia. Selepas tewas kepada Sinner, Medvedev telah berehat selama 10 hari dan ‘mula berasa sakit di sana sini’ apabila dia kembali berlatih. – AP