Saturday, January 4, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Misi selamatkan dugong unik Afrika

    DIZANGUE, CAMEROON – Sejak pertama kali melihat dugong Afrika, ahli biologi marin yang memenangi anugerah, Aristide Takoukam Kamla telah menumpukan perhatian untuk melindungi mamalia akuatik yang kurang dikenali dan berisiko itu.

    Dugong Afrika ditemui di dalam air tawar di sepanjang pantai barat Afrika, seperti di Tasik Ossa Cameroon yang luas di mana penyelidik pertama kali melihatnya lebih 10 tahun lalu.

    Tetapi ia adalah makhluk yang pemalu – mengesan haiwan itu memerlukan seseorang keluar sebelum subuh apabila tasik jernih dan tenang, lebih baik untuk mengikuti jejak buih dan, mungkin sempat melihat dua lubang hidung besar dugong menarik nafas cepat.

    “Saya menjangkakan melihat dugong seperti di YouTube: dalam air jernih, melompat seperti ikan lumba-lumba… idea yang benar-benar nyata” berpunca daripada penerbitan filem mengenai dugong di Florida, ujar lelaki Cameroon berusia 39 tahun itu sambil tersenyum.

    Dugong dari Afrika, bagaimanapun, sangat berbeza dan penyelidik perantis Universiti Dschang ketika itu terpaksa mendayung untuk masa yang lama sebelum dapat melihat haiwan itu.

    Thierry Aviti mencari kumbang dalam segumpal salvinia di Tasik Ossa, Dizangue. – AFP
    Aristide Takoukam Kamla (kiri), ahli biologi marin khusus dalam dugong Afrika, bercakap dengan pelancong dan ahli biologi lain di sebuah bot di Dizangue. – AFP
    Thierry Aviti (kiri) mengambil sampel salvinia di Tasik Ossa, Dizangue. – AFP
    Seorang nelayan mengemudi perahunya di perairan Tasik Ossa. – AFP

    Dengan bantuan nelayan tempatan, Takoukam Kamla kini telah mempelajari cara mengesan dugong Afrika dengan lebih mudah dalam keadaan gelap Tasik Ossa seluas 4,500 hektar, sebahagian daripada rizab hidupan liar yang luas di barat daya Cameroon.

    Dugong adalah ‘haiwan kegemarannya,’ subjek projek ijazah kedoktorannya di Universiti Florida – dan merupakan sebab dia memenangi Anugerah Whitley berprestij tahun ini yang mengiktiraf kerja biodiversiti oleh pemuliharaan akar umbi.

    HABITAT TERANCAM, PEMBURUAN HARAM

    Saintis Amerika, Sarah Farinelli amat terharu selepas melihat lima ekor dugong Afrika, termasuk seekor dugong betina dengan anaknya, semasa keluar di tasik bersama Takoukam Kamla.

    “Ia amat besar! Terdapat tempat tertentu di Afrika di mana adalah mustahil untuk melihatnya,” kata Farinelli, yang berusia 30an dan mengkaji mamalia laut di Nigeria.

    Masih banyak yang tidak diketahui oleh penyelidik tentang Trichechus senegalensis – jumlah yang ada di Cameroon; berapa lama ia hidup; bila dan ke mana mamalia itu berhijrah.

    Dugong Afrika ditemui di antara Mauritania dan Angola tetapi ‘ia adalah spesies yang jarang dikaji, di mana banyak misteri masih wujud,’ kata Takoukam Kamla.

    Kadangkala dikenali sebagai lembu laut, herbivor marin yang besar itu disenaraikan sebagai ‘mudah terancam’ dalam senarai merah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi.

    Namun saintis Cameroon itu berpendapat ia merupakan ‘anggaran status yang kurang mengenai spesies ini, yang tertakluk kepada pemburuan haram’ dan habitatnya ‘sering terancam’.

    Takoukam Kamla menubuhkan Pertubuhan Pemuliharaan Mamalia Marin Afrika yang mempunyai lima makmal termasuk di perkampungan nelayan tepi tasik Dizangue.

    Di Tasik Ossa, satu-satunya pemangsa haiwan itu adalah manusia – hanya beberapa tahun yang lalu, dugong masih dihidangkan di restoran kampung.

    Pemburuan dugong kini diharamkan dan hidangan itu telah dikeluarkan dari menu. Sebuah patung biru dugong telah didirikan sebagai penghormatan kepada haiwan tersebut. Namun ancaman masih wujud.

    Takoukam Kamla, berdiri di tepi tasik, menunjuk kepada kilang penapisan minyak sawit dengan sisanya dibuang ke dalam air.

    Satu lagi ancaman adalah kedudukan pukat di seberang tasik untuk memaksimumkan tangkapan kerana ia boleh ‘memerangkap dugong kecil dalam jaringnya,’ keluhnya, ketika berbincang dengan seorang nelayan dalam sampannya.

    “Kami orang asli, kami bergantung hidup pada laut dan kami tidak pernah mengalami halangan,” rungut lelaki tua itu.

    “Jika awda mahu mengenakan larangan kepada kami, awda perlu membayar kami setiap bulan.”

    PERTEMPURAN BIOLOGI

    Hubungan antara saintis dan masyarakat tempatan yang mana tradisi memancing telah diwarisi turun temurun adalah rumit.

    Namun ancaman alam sekitar yang melanda tiga tahun lalu menyatukan dua dunia mereka.

    Separuh daripada permukaan tasik telah dilitupi oleh salvinia gergasi invasif – Salvinia molesta – tumbuhan terapung bebas yang menyebabkan tasik tidak dapat didiami ikan dan dugong.

    Untuk memeranginya, saintis menggunakan serangga mikroskopik yang memakan salvinia secara eksklusif dan meminta bantuan daripada nelayan.

    “Mereka pernah mengambil salvinia yang dipenuhi kumbang dan meletakkannya sedikit di mana-mana di tasik,” kata penyelidik AMMCO Thierry Aviti.

    Tiga tahun kemudian, kesemua tumbuhan yang mengancam itu telah lenyap.

    “Pada satu ketika, kami tidak mampu bertahan lagi tetapi janji telah tertunai,” kata nelayan Dizangue Thierry Bossambo, penuh dengan kenangan berjaga sepanjang malam tanpa ikan.

    Jambatan yang dibina bersama nelayan adalah sesuatu yang ingin dikekalkan oleh Takoukam Kamla untuk mengelakkan ‘sains payung terjun,’ istilah yang merujuk kepada saintis yang turun ke komuniti tempatan dari menara gading akademik mereka untuk menjalankan kerja lapangan.

    Dan untuk mengatasi kemungkinan pemburuan haram, dia mahu membangunkan eko-pelancongan di kawasan itu.

    Ia adalah satu ‘keutamaan,’ ujar Gilbert Oum Ndjocka, kurator Taman Negara Douala-Edea berdekatan, yang berkata “semua pihak berkepentingan adalah sekutu untuk pemuliharaan”. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda