Sunday, November 3, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Misi ‘tanam’ semula terumbu Kenya

    WASINI, KENYA – Dengan mengambil perjalanan beberapa minit dari tanah besar Kenya, pulau yang ditumbuhi hutan Wasini adalah salah satu daripada beberapa kawasan permulaan untuk usaha pemuliharaan terumbu karang di barat Lautan Hindi.

    Pada hari biasa semasa musim monsun yang bergelora, empat orang juruselam, membawa peralatan ukur, kasut dan berus gigi menyelam secara bergilir-gilir ke tapak pemuliharaan terumbu di dasar laut di terusan Shimoni.

    “Kami menggunakan serpihan batu karang yang dikutip dari populasi liar untuk menubuhkan tapak semaian,” kata juruselam Yatin Patel, sebelum terjun ke dalam perairan warna firus.

    “Selepas besar, terumbu berkenaan dibawa ke taman batu karang.” Patel dan kumpulannya, yang merupakan anggota yayasan REEFolution, membersihkan tapak semaian batu karang dan mengukur saiz batu karang yang membesar, yang disokong oleh paip plastik dan piramid yang didirikan dalam struktur seperti jaring keluli.

    Kawasan marin itu, dikendalikan bersama oleh yayasan dan komuniti pulau, telah menanam lebih daripada 8,000 batu karang setahun sejak 2021 dan menempatkan kira-kira 800 struktur terumbu tiruan dalam terusan dengan matlamat memulihkan taman batu karang Wasini.

    Namun projek tersebut diancam oleh kos yang meningkat dan pelabuhan perikanan yang dirancang dibina di Shimoni, terletak tiga kilometer dari pantai Kenya.

    Yatin Patel mengukur struktur terumbu tiruan di Lautan Hindi dekat Shimoni, Kenya. – AP
    Ikan-ikan berenang berhampiran batu karang yang mengalami pemutihan di taman marin Kisite Mpunguti di Kenya. – AP

    Renjer pemuliharaan terumbu karang memberus struktur terumbu tiruan di Lautan Hindi berhampiran Shimoni, Kenya. – AP

    Persidangan Lautan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, yang bermula pada Isnin di Lisbon, Portugal, dijangka mengembalikan isu perlindungan dan pemuliharaan terumbu karang dalam agenda.

    Negeri pulau kecil dan negara Afrika akan menyusuli usaha mengenai akses kepada mekanisme ‘pembiayaan biru’, termasuk skim pembiayaan terumbu karang bernilai AS$625 juta bertujuan menyasarkan usaha melindungi dan memulihara serta membantu komuniti yang bergantung pada lautan untuk mata pencarian mereka. Komitmen sebelumnya untuk memulihara terumbu oleh Kesatuan Eropah dan insurans terumbu karang juga akan dibincangkan.

    Ancaman populasi ikan yang berkurangan disebabkan batu karang yang mati menambah masalah kepada komuniti Afrika, jutaan di antaranya telah berdepan krisis makanan yang teruk disebabkan kemarau berpanjangan di timur dan Afrika, serta kesan peperangan di Ukraine.

    Pada awal Mac, Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim mengeluarkan amaran mengenai ancaman yang dihadapi negara pantai dan pulau Afrika dan kemusnahan terumbu di barat Lautan Hindi.

    Inisiatif batu karang Pulau Wasini adalah antara usaha kebanyakan kawasan yang bertaburan di seluruh pesisir barat Afrika, selepas berlakunya beberapa siri insiden pemutihan terumbu yang serius berpunca daripada perairan yang panas. Selepas tahun yang teruk pada 1998, sebahagian besar disebabkan fenomena cuaca El Nino, kawasan pantai terumbu di Lautan Hindi – dari Somalia ke Afrika Selatan – terjejas teruk.

    Pemutihan terumbu berlaku apabila suhu melampau dan pancaran mata hari serentak mendorong terumbu mengeluarkan alga, menyebabkan ia berubah menjadi putih.

    Terumbu mampu bertahan daripada pemutihan, tetapi mengalami tekanan yang lebih besar dan tidak dapat menyokong kehidupan marin secara efektif, justeru mengancam hidupan yang bergantung padanya.

    Tim McClanahan, pakar zoologi di Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar, berkata tahun 1998 bukan peristiwa pertama seumpama itu – terdapat juga satu insiden pada 1983, dan sejak itu tiga kejadian telah berlaku dalam tempoh dua dekad, pada 2005, 2010 dan 2016.

    Isu pemutihan terumbu besar-besaran di sepanjang pesisir Lautan Hindi telah membimbangkan saintis selama beberapa dekad dan kajian intensif untuk memahami dan merangka campur tangan bertujuan mengawal fenomena tersebut masih diteruskan.

    Kebanyakan kejadian pemutihan tersebut dikaitkan secara langsung dengan perubahan iklim, kata McClanahan.

    Projek pemuliharaan terumbu Wasini, yang bermula pada 2012, mengikut jejak langkah Nature Seychelles, pertubuhan pemulihara-an bukan kerajaan di gugusan kepulauan Seychelles yang melancarkan program penanaman semula terumbu pertama di Lautan Hindi pada tahun yang sama dan masih berterusan satu dekad kemudian. Projek yang sama telah dilaksanakan di Tanzania.

    Namun terumbu Wasini berada dalam keadaan yang teruk, ujarnya.

    “Terdapat beberapa kawasan di Tanzania, Mozambique dan Madagascar yang dalam keadaan lebih baik. Kami sedang berusaha untuk melindungi terumbu berkenaan,” katanya. Menurutnya, program perlindungan adalah jauh lebih baik daripada projek yang berhasrat memulih-kan terumbu yang telah mengalami pemutihan teruk.

    “Kami mendapati ia mahal dan juga dalam jangka panjang, kebanyakan terumbu yang kami tanam mati,” katanya merujuk kepada usaha pemuliharaan terumbu Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar.

    “Usaha pemuliharaan tidak akan mengatasi masalah pada skala yang besar ini,” katanya.

    Projek pemuliharaan terumbu Wasini juga berdepan ancaman pemusnahan dan pencemaran daripada pembinaan pelabuhan perikanan laut dalam di Shimoni. Pelabuhan itu salah satu daripada dasar utama yang dijanjikan oleh kerajaan Kenya pada sidang kemuncak lautan pertama PBB di Nairobi pada 2018 dan akan diulangi semasa sidang kemuncak susulan di Lisbon pada Isnin.

    Menurut laporan penilaian kesan alam sekitar yang diperoleh The Associated Press, pembinaan pelabuhan akan memberi kesan ke atas terumbu, ikan dan organisma marin lain disebabkan kepulan asap yang akan dicetuskan menerusi aktiviti peng-gorekkan. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda