Friday, February 7, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Misi tangani isu penebangan hutan, kemiskinan

    CARAUARI – Di sebuah sudut terpencil Amazon, ahli ekologi Brazil berusaha mencari jalan di mana kekurangan tadbir urus telah mengundang bencana. Mereka menguruskan sebahagian tanah dengan melibatkan penduduk tempatan dan saintis dalam memelihara hutan tropika terbesar di dunia.

    Cita-citanya begitu tinggi, iaitu melawan pengaruh yang telah menghancurkan 10 peratus hutan dalam tempoh kurang empat dekad dan mencipta sesuatu yang boleh diaplikasikan di bahagian lain Amazon.

    Ia bermula dengan ekspedisi selama empat bulan sepanjang Sungai Jurua pada 2016. Para penyelidik melawat kira-kira 100 komuniti yang pada pandangan pertama kelihatan serupa: barisan rumah kayu di atas tiang di sepanjang sungai. Tetapi mereka dikejutkan oleh perbezaan dalam keadaan hidup.

    Untuk memahami apa yang mereka perhatikan, penting untuk mengetahui bahawa 29 peratus Amazon, kawasan yang kira-kira tiga kali saiz California, adalah tanah awam tanpa perlindungan khas atau tanah awam tanpa maklumat awam, menurut satu kajian oleh Institut Amazon bagi Rakyat dan Alam Sekitar.

    Kawasan-kawasan ini terbukti lebih terdedah kepada pembalakan haram. Perompak tanah menghalau komuniti asal dari kawasan berkenaan dan kemudian membersihkannya, dengan harapan kerajaan akan mengiktiraf mereka sebagai pemilik, yang biasanya berlaku.

    Nelayan, Marco Aurelio Canuto Viana memproses ikan pirarucu di sebuah tasik di wilayah Medio Jurua, Negeri Amazonia, Brazil pada 5 September 2022. – Gambar AP
    Seekor bangau terbang di Carauari, Brazil pada 6 September 2022. – Gambar AP
    Seorang lelaki mengekori seekor anjing di komuniti Lago Serrado, dekat Carauari, Brazil pada 1 September 2022. – Gambar AP

    “Perbezaannya sangat ketara. Di dalam kawasan yang dipelihara, terdapat banyak perkara positif yang berlaku, tetapi di luar, ia kelihatan seperti 40 tahun ke belakang,” kata Joao Vitor Campos-Silva, seorang ahli sosio-ekologi tropika, kepada The Associated Press.

    Para penyelidik sedar bahagian sungai yang dikenali sebagai Medio Jurua, berdekatan bandar Carauari, mempunyai organisasi sosial yang luar biasa dan penduduknya menguruskan hasil hutan dan ikan, seperti acai, secara lestari. Status tanah di sini adalah ‘rizab ekstraktif’, tanah awam di mana penduduk dibenarkan menangkap ikan dan menuai beberapa tanaman.

    Tetapi di luar rizab ini, di banyak tempat, orang ramai mengikut arahan pemilik tanah yang dilantik sendiri, kata Campos-Silva. Keseluruhan komuniti dinafikan akses kepada tasik, bahkan untuk menangkap ikan bagi memberi makan keluarga mereka. Orang-orang tidak memiliki tanah dan mereka tidak tahu siapa yang memiliki.

    Penglibatan semua pihak

    “Kami mula berfikir mungkin lebih menarik untuk merancang satu model pemuliharaan berdasarkan skala lembangan, di mana komuniti boleh menuai hasil hutan dan menangkap ikan serta melindungi hutan, bukannya berpindah ke bandar atau terlibat dalam aktiviti haram seperti pembalakan tanpa lesen dan penangkapan ikan berlebihan,” kata mereka.

    Jadi mereka menubuhkan Institut Jurua dan membeli hutan hujan seluas 13 kilometer di sepanjang Sungai Jurua. Ia termasuk kira-kira 20 tasik, beberapa di antaranya berpotensi tinggi untuk memelihara ikan pirarucu yang berharga, iaitu ikan air tawar terbesar di dunia yang boleh mencapai sehingga 200 kilogram.

    Matlamatnya, kata Campos-Silva, adalah untuk mempromosikan kajian berkualiti tinggi, berdasarkan kerjasama dengan penduduk kawasan tersebut.

    Di sekitar tanah Institut Jurua, terdapat 12 komuniti bekas penoreh getah. Rakyat Brazil menggelarnya sebagai ‘ribeirinhos’, atau penduduk sungai, yang berbeza daripada penduduk asli.

    Pada masa dahulu, peluang untuk mencari pendapatan daripada pokok getah telah membawa nenek moyang mereka ke Amazon. Kini, pendapatan utama datang daripada ikan pirarucu. Mengawal perikanan berkenaan telah terbukti mampan, menghidupkan semula spesies yang mengalami kemerosotan dan menjana pendapatan tanpa perlu menebang hutan.

    Hutan hujan Amazon, yang meliputi kawasan dua kali saiz India, juga menyimpan simpanan karbon yang sangat besar dan merupakan penghalang penting terhadap perubahan iklim.

    Pembalakan haram meningkat kepada paras tertinggi dalam 15 tahun kebelakangan ini ketika Jair Bolsonaro meninggalkan jawatannya sebagai presiden pada Januari lalu.

    Kemusnahan di timur Amazon telah berlaku begitu meluas sehingga ia menjadi sumber karbon, bukan lagi kawasan tadahan karbon.

    Untuk melibatkan komuniti pinggir sungai dalam tadbir urus, institut itu menubuhkan jawatankuasa pemandu dan melancarkan siri mesyuarat awam yang disebut ‘komuniti impian’, di mana orang ramai boleh memberi keutamaan kepada peningkatan yang mereka paling mahukan.

    Bagi mengelakkan berat sebelah jantina dan usia, mereka bekerja dalam tiga kumpulan – wanita, belia dan lelaki, kata Campos-Silva.

    Presiden persatuan komuniti sungai, Fernanda de Araujo Moraes, berkata tujuan utama adalah untuk menghalang penduduk sungai berpindah ke bandar Amazon, di mana pengangguran dalam kalangan orang berpendidikan rendah berleluasa dan keganasan meluas, disebabkan oleh aktiviti pengedaran dadah.

    Di komunitinya sendiri di Lago Serrado, di mana 12 keluarga tinggal dalam rumah atas tiang, golongan wanita dan lelaki menyenaraikan bekalan elektrik 24 jam sebagai keutamaan mereka.

    Saat ini, ia hanya tersedia selama tiga jam sehari. Manakala, belia memilih latihan memancing.

    Moraes percaya kerjasama seperti ini adalah jalan yang paling cepat ke arah kemajuan.

    “Kami ingin meningkatkan kehidupan orang ramai dan institut inginkan perkara yang sama,” katanya, sambil duduk di lantai rumahnya, menjaga anak perempuannya yang masih damit. Kerajaan, katanya, tidak selalu sehaluan.

    “Ini adalah sesuatu yang tidak wujud di Amazon, ia tidak wujud di mana-mana di Brazil. Jika ia berhasil, ia akan menarik perhatian ramai orang,” kata penduduk tempatan, Jose Alves de Morais dalam temu bual di tepi tasik di belakang komuniti.

    Usaha yang diiktiraf

    Dari segi saintifik, institut itu telah membina sebuah rumah bot dan sebuah rumah kayu yang dapat menampung sehingga 20 penyelidik untuk meluangkan masa bermusim-musim di sepanjang Sungai Jurua. Salah seorang daripadanya sedang mengkaji monyet uakari.

    Penyelidik lain mengkaji apa yang menjadikan pengaturan sosial berjaya di kawasan tersebut. Mereka mencipta program Forest Scientists untuk melatih pelajar sekolah menengah tempatan dalam pengumpulan data lapangan, sistem data, dan penyediaan laporan.

    Inisiatif ini diketuai oleh Carlos Peres, seorang anak kelahiran Amazon yang merupakan profesor ekologi pemuliharaan tropika di University of East Anglia, United Kingdom.

    Pada April, projek ini, yang bermula sebagai eksperimen, mendapat pengiktirafan daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan di Switzerland apabila dia dan tiga saintis lain memenangi Anugerah Frontiers Planet, yang disertai dengan AS$1.1 juta.

    Wang tersebut akan dilaburkan semula dalam projek ini, yang telah menerima sokongan daripada National Geographic dan Rolex Conservation Award. Kajian yang memenangi hadiah tersebut menggunakan data yang dikumpul semasa pengembaraan pada tahun 2016.

    Ditulis bersama oleh Campos-Silva dan yang lain, ia mendapati komuniti yang tinggal di dalam kawasan terpelihara menikmati akses yang lebih baik terhadap penjagaan kesihatan, pendidikan, bekalan elektrik, dan sanitasi asas, serta pendapatan yang lebih stabil, berban-ding dengan komuniti di kawasan yang tidak ditetapkan.

    Mereka mendapati hanya 5 peratus daripada golongan dewasa yang tinggal di dalam kawasan terpelihara yang ingin berpindah ke bandar, berbanding dengan 58 peratus dewasa di kawasan yang tidak dilindungi.

    Peres, pengarah saintifik institut tersebut, berkata mereka berharap untuk mencetuskan penyelesaian di seluruh rantau Amazon, dengan menggabungkan ilmu tradisional dan sains Barat.

    “Kami tidak mempunyai jawapan bagi semua penyelesaian,” katanya. “Tetapi kami mempunyai keberanian untuk menangani isu-isu ini.” – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda