Tuesday, April 22, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Misi teroka peluang pelaburan ke China, AS

    KUALA LUMPUR, 21 Okt – Menteri Industri Utama, Teresa Kok akan mengetuai misi minyak sawit, ekonomi, promosi dan pelaburan ke China dan Amerika Syarikat (AS) mulai 21 hingga 28 Oktober ini.

    Dalam satu kenyataan hari ini, kementerian berkenaan berkata, misi itu bertujuan untuk meneroka peluang pasaran dan pelaburan serta kerjasama industri antara Malaysia dan kedua-dua negara.

    “Misi itu juga bertujuan menyediakan platform kepada Malaysia untuk membincang dan menangani pelbagai isu berkaitan perdagangan dan akses pasaran dengan kedua-dua negara,” katanya sambil menambah delegasi itu akan terdiri daripada pegawai kementerian, Lembaga Minyak Sawit Malaysia dan Majlis Minyak Sawit Malaysia.

    Di Nanjing, China, kementerian itu berkata, Teresa akan merasmikan Pameran dan Seminar Perdagangan Minyak Sawit Malaysia-China (POTS) 2018.

    Bertema ‘Meningkatkan Perdagangan, Memaksimumkan Peluang Melalui Minyak Sawit Malaysia’, POTS 2018 merupakan satu perhimpunan pakar terkemuka dalam bidang minyak dan lemak, yang akan memberikan pandangan ke atas peluang perdagangan dan pelaburan dalam sektor minyak sawit.

    “Menteri itu juga akan melawat Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Global Wilmar serta River & Ocean Cereals & Oils Group Co Ltd bagi meninjau operasi minyak dan lemak mereka di China,” katanya.

    Di San Francisco, AS, kementerian itu berkata, Teresa akan menjadi tetamu istimewa di ‘An Enchanted Evening with Martin Yan’, majlis pelancaran siri televisyen baharu chef selebriti Martin Yan yang dinamakan ‘Rasa Malaysia bersama  Martin Yan’, yang akan mula disiar di saluran KQED 9 AS. – Bernama

    Menteri Industri Utama Teresa Kok (dua, kanan) mendengarkan penerangan ketika melakukan lawatan di ruang pameran selepas melancarkan ‘Malaysian Timber Conference’ di Le Meridien baru-baru ini. Teresa Kok akan mengetuai misi minyak sawit, ekonomi, promosi dan pelaburan ke China dan AS mulai 21 hingga 28 Oktober ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda