Friday, April 26, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Misi tinggal dalam air 100 hari

    KEY LARGO, FLORIDA, 17 MEI – Seorang profesor universiti memecah rekod paling lama tinggal di bawah permukaan air tanpa tekanan pada hujung minggu ini di pondok Florida Keys untuk penyelam skuba.

    Hari ke-74 Joseph Dituri menetap di Jules’ Undersea Lodge, yang terletak di dasar lagun sedalam 30 kaki di Key Largo, tidak jauh berbeza daripada hari-hari sebelumnya di sana sejak dia tinggal dalam air pada 1 Mac.

    Dituri, yang juga dikenali sebagai ‘Dr Laut Dalam,’ makan makanan berprotein tinggi, telur dan salmon yang disediakan menggunakan gelombang mikro, bersenam dengan jalur rintangan, melakukan tekan tubi setiap hari dan tidur sebentar selama sejam.

    Tidak seperti kapal selam, pondok ini tidak menggunakan teknologi untuk menyesuaikan diri dengan peningkatan tekanan bawah air.

    Rekod sebelumnya iaitu 73 hari, dua jam dan 34 minit dicatat oleh dua profesor Tennessee – Bruce Cantrell dan Jessica Fain – di lokasi yang sama pada 2014.

    Tetapi Dituri bukan hanya memecah rekod dan timbul semula: Dia merancang untuk tinggal di rumah persinggahan sehingga 9 Jun, apabila dia mencecah 100 hari dan menyelesaikan misi bawah permukaan air yang digelar Projek Neptune 100.

    Walaupun dia mengatakan dia suka hidup di bawah lautan, ada satu perkara yang dia amat rindukan.

    “Perkara yang paling saya rindui ketika berada di permukaan ialah matahari,” kata Dituri.

    “Matahari telah menjadi faktor utama dalam hidup saya – saya biasanya pergi ke gim pada pukul lima pagi kemudian saya keluar semula dan melihat matahari terbit.” – AP

    Gambar serahan Biro Berita Florida Keys menunjukkan Dr Joseph Dituri melihat keluar dari tingkap magun Jules’ Undersea Lodge di dasar lagun di Key Largo, Florida. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...