Wednesday, April 16, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Miskin tegar di Sabah catat penurunan

    KOTA KINABALU, 15 APRIL – Jumlah Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar di Sabah mencatatkan penurunan ketara sebanyak 89.9 peratus setakat 28 Februari lepas berdasarkan pangkalan data eKasih, persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah diberitahu hari ini.

    Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir berkata dalam tempoh itu jumlah KIR dikategorikan sebagai miskin tegar telah berkurang kepada 1,464 berbanding 14,553 yang direkodkan pada 29 Februari tahun lepas.

    Beliau berkata pembasmian miskin tegar di Sabah akan terus dipantau berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Makanan iaitu pendapatan di bawah RM1,218, dengan mengambil kira purata saiz isi rumah 4.3 dan per kapita RM288 bagi satu ahli isi rumah.

    “Data KIR ini bersifat dinamik, dengan perubahan status dipengaruhi oleh pelbagai faktor termasuk perubahan bilangan ahli isi rumah, pendapatan, bantuan yang diterima atau ditamatkan serta perubahan maklumat seperti kematian atau perpindahan ke negeri lain.

    “Kerajaan Sabah telah memulakan pemberian bantuan Program Sentuhan Kasih Rakyat (Syukur) pada 17 Februari 2025, dan langkah ini dijangka akan terus menyumbang kepada penurunan jumlah miskin dan miskin tegar dalam sistem eKasih,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Jannie Lasimbang (PH-Kapayan) yang bertanya jumlah penerima fasa satu Syukur 2025 dan apakah inisiatif lain untuk membantu golongan miskin dan miskin tegar yang tercicir daripada senarai e-Kasih agar mereka juga mendapat bantuan sama. – Bernama

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda