ULASAN SIRI TV OLEH RUZAINI HAJI DAUD
TRAGEDI berkaitan dengan nahas kapal terbang tidak kira sama ada ia hilang daripada radar, terhempas, terbakar dan sebagainya seringkali mendapat perhatian daripada masyarakat di seluruh dunia.
Namun, tidak ramai penonton yang mengetahui apakah perasaan sebenar yang dialami oleh para mangsa yang terselamat daripada nahas kapal terbang tersebut.
Sebelum ini beberapa siri televisyen berbahasa Inggeris seperti Air Crash Investigation dan Lost pernah mengupas isu berhubung mengenai nahas kapal terbang ini,
Sebagaimana kebanyakan siri drama Korea yang cuba lari daripada unsur tipikal iaitu romantik, komedi dan air mata, Missing 9 lebih menumpukan kisah yang menampilkan mangsa-mangsa nahas kapal terbang yang terselamat.
Ia merupakan sebuah siri drama yang diarahkan oleh Han Jung Hoon yang sebelum ini pernah mengarahkan siri drama 38 Police Squad.

Manakala, para pelakon yang telah dipilih untuk menjayakan siri drama ini pula terdiri daripada Jung Kyung Ho, Baek Jin Hee, Chanyeol EXO, Lee Sun Bin dan Cao Lu Fiestar.
Pada dasarnya, ia adalah sebuah siri drama yang mengisahkan mengenai Seo Joon Ho lakonan Jung Kyung Ho, bekas idola Kpop yang kini bekerja sebagai pelapor acara hiburan televisyen.
Suatu hari, beliau telah ditugaskan untuk melakukan satu liputan yang memerlukan beliau untuk menaiki kapal terbang dan malangnya kapal terbang yang dinaiki itu terhempas di sebuah pulau.
Di samping beliau, terdapat lagi beberapa penumpang lain yang terselamat daripada tragedi kapal terbang terhemaps itu termasuk Ra Bong Hee lakonan Baek Jin Hee, pakar perunding kecantikan. Dari situ, mula wujud bait-bait hubungan percintaan di antara mereka berdua walaupun terpaksa merempuh pelbagai masalah ketika terdampar di pulau tersebut.
Dalam situasi konflik itu tentu sahaja banyak perkara yang tidak terduga berlaku malah ia juga memperlihatkan sikap sebenar seseorang individu termasuk ada yang sanggup untuk mementingkan diri mereka sendiri.
Justeru untuk mengetahui kesudahan kisah yang cuba untuk ditampilkan di dalam siri drama ini jangan terlepas untuk terus menonton siri drama Missing 9 sehingga ke penghujungnya.