Tuesday, May 13, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mission Impossible kembali tonjolkan kehebatan Tom Cruise

    LAKONAN hebat Tom Cruise kembali menghangatkan lagi suasana di pawagam apabila filem terbaharunya, Mission: Impossible – Fallout berjaya menjadi pilihan utama kepada kebanyakan penonton.

    Mission: Impossible – Fallout terbitan Paramount telah berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$61.5 juta hasil tayangan daripada 4,386 pawagam sekali gus berjaya mendominasi carta.

    Jumlah kutipan itu turut menjadikan siri filem terbaharu ini sebagai siri yang berjaya mendapat kutipan tertinggi dalam francais filem ini.

    Sebelum ini, Mission: Impossible II telah diisytihar sebagai siri yang berjaya mendapat kutipan tertinggi iaitu sekitar AS$57.8 juta ketika ia ditayangkan pada tahun 2000.

    Siri kelima dalam francais filem itu, Mission: Impossible – Rogue Nation pula hanya berjaya mengumpulkan kutipan setinggi AS$55.5 juta.

    Antara aksi mendebarkan yang dilakonkan oleh Tom Cruise dalam filem Mission: Impossible – Fall out.
    Mamma Mia! Here We Go Again menonjolkan elemen komedi muzikal.
    Salah satu babak mencemaskan dalam filem The Equalizer 2.
    Antara adegan mencuit hati dalam filem Hotel Transylvania 3: Summer Vacation.
    Teen Titans Go! To The Movies merupakan sebuah filem animasi yang diadaptasi dari komik DC.

    Bagaimanapun, Mission: Impossible – Fallout ini dilihat berjaya menonjolkan semula kehebatan aksi Tom Cruise setelah sebelum ini prestasinya agak tercalar berikutan sambutan yang kurang menggalakkan diperoleh hasil daripada tayangan filem The Mummy dan Jack Reacher: Never Go Back.

    Di pasaran antarabangsa, Mission: Impossible – Fallout dilihat berjaya mengumpulkan kutipan setinggi AS$153.5 juta.

    “Dengan kutipan yang cukup menggalakkan ini setentunya prestasi filem ini dijangka bakal diterima baik secara positif. Tom Cruise dan Christopher McQuarrie memang telah berjaya memperlihatkan kerjasama yang baik dalam merealisasikan filem ini,” jelas Ketua Pengedar Domestik di Paramount, Kyle Davies. Pengarah filem ini, Christopher McQuarrie memang bijak dalam menonjolkan aksi lakonan Tom Cruise dalam filem sekali gus mengembalikan semula popularitinya.

    “Penonton juga sememangnya terlalu merindui akan kemunculan aksi Tom Cruise di layar perak yang jelas turut mendorong mereka memilih untuk menonton filem itu di pawagam,” jelas Davies.

    Secara keseluruhan, francais yang terdiri daripada lima buah siri filem ini telah berjaya mengumpulkan kutipan setinggi AS$2.7 bilion.

    “Francais filem Mission: Impossible ini memang telah dianggap sebagai ‘mahkota permata’ kepada Paramount Pictures. Ia juga secara tidak langsung turut mengukuhkan hubungan di antara syarikat penerbitan itu dengan pelakon aksi tersebut,” jelas Penganalisis Box Office, Paul Dergarabedian.

    Di samping Tom Cruise, filem aksi ini juga turut dibintangi oleh Ving Rhames, Simon Pegg, Rebecca Ferguson, Michelle Monaghan, Sean Harris, Alec Baldwin, Henry Cavill, Angela Bassett dan Vanessa Kirby.

    Mamma Mia! Here We Go Again dilihat berjaya mengekalkan posisinya di tangga kedua setelah berjaya mengumpul kutipan setinggi AS$15 juta.

    Walaupun kutipan yang diperoleh pada minggu ini menurun sebanyak 57 peratus namun secara keseluruhan, filem yang menampilkan ciri muzikal itu telah berjaya mengumpulkan kutipan setinggi AS$70 juta dalam tempoh tayangan selama dua minggu.

    Sementara juara minggu lalu, The Equalizer 2 pula harus akur untuk menduduki tangga ketiga setelah berjaya mengumpul kutipan setinggi AS$14 juta. Filem sekuel yang menampilkan aksi lakonan Denzel Washington itu telah berjaya mengumpulkan kutipan secara keseluruhan setinggi AS$64 juta dalam tempoh masa tayangan selama dua minggu. Hotel Transylvania 3 terbitan Sony pula menduduki tangga keempat dengan jumlah kutipan sebanyak AS$12.4 juta.

    Dalam tempoh tayangan selama tiga minggu, filem animasi yang menampilkan suara latar terdiri daripada Adam Sandler, Andy Samberg, Selena Gomez, Kevin James dan David Spade itu telah berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$119 juta.

    Teen Titans Go! To the Movies terbitan Warner Bros yang baru ditayangkan pada minggu ini pula menduduki tangga kelima dengan jumlah kutipan sebanyak AS$10.5 juta hasil tayangan dari 4,005 pawagam.

    Filem animasi diadaptasi dari siri komik popular ini menampilkan suara latar yang terdiri daripada Greg Cipes, Scott Menville, Khary Payton, Tara Strong, Hynden Walch, Nicholas Cage, Will Arnett dan Kristen Bell.

    Menurut comScore, kadar penjualan tiket pada musim panas bagi tahun ini telah memperlihatkan peningkatan sebanyak 7.8 peratus berbanding pada tahun lalu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda