Thursday, September 19, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Misteri bebola api

    Oleh Kasz Kartolo –

    Pada sekitar tahun 70an suasana di kawasan perkampunganku agak lengang dan sunyi. Ketika itu aku tinggal di sebuah kampung di negara jiran.

    Namun kini aku telah bermastautin di negara lain. Mengikut suamiku tersayang.

    Pada ketika itu kemudahan asas seperti bekalan lampu jalan raya belum ada lagi. Kalau berjalan di waktu malam terpaksalah menggunakan obor atau lampu minyak. Jadi suasana terutama pada waktu malam hari sungguh sunyi dan suram.

    Hanya ada beberapa buah rumah sahaja di persekitaran rumahku.

    Rumahku terletak berhampiran dengan jalan raya dan di seberang jalan raya tersebut hanya terdapat dua buah rumah. Ketika itu seingatku umurku sekitar lapan tahun.

    Gambar Freepik
    Foto Canva

    Mengimbau kembali kepada kejadian aneh yang aku alami dan akan ku ceritakan ini, mungkin ada hikmah dan pengajaran kepada kita manusia supaya sentiasa sedar dan kembali ke jalan Allah.

    Walaupun kejadian ini berlaku puluhan tahun yang lampau namun ianya tetap segar dalam ingatanku. Seperti biasa pada hari kejadian tersebut, aku, abang serta adikku sedang berehat selepas balik dari sekolah.

    Pada ketika itu bapaku tidak ada di rumah kerana pergi outstation. Tugasnya sebagai seorang juruukur (surveyor) di Jabatan Tanah dan Ukur tidak mengizinkan bapaku selalu ada di rumah. Kekadang beliau hanya ada bersama kami pada hujung minggu sahaja.

    Jadi tugas banyak dipertanggungkan oleh mama. Malah aku sendiri akur akan ketabahan mamaku memandangkan keadaan persekitaran kawasan rumah kami ketika itu.

    Kalau bukan calang-calang wanita memang tidak akan sanggup tinggal di pinggir hutan yang sunyi sepi dan cuma bertemankan tiga orang anak hingusan yang belum memahami apa-apa. Bak kata mama selalu, ‘kalau nak hidup, mesti tabah dan sabar’.

    Walaupun mama seorang penakut, dia sendiri mengakuinya pada kami pada masa ini, namun demi menjaga dan mengasuh kami ketika ketiadaan bapa, mengajar dia menjadi seorang yang kuat semangat.

    Selepas makan tengah hari, seperti biasa mama akan menyuruh kami tidur sekejap untuk merehatkan mata.

    Bagi mama walaupun berehat seketika dengan melelapkan mata akan membuat badan kami sihat dan segar untuk menghadapi pelajaran dan kerja rumah pada sebelah malam.

    Pada petang itu, mata kami tidak mahu pejam seperti biasa. Keadaan cuaca yang panas terik tadi mula berubah wajah.

    Angin bertiup agak kencang dan mendung mula berarak hitam. “Eh tiba-tiba saja nak hujan”, bisik hatiku tadi bukan main terik lagi panasnya. Mama mula mengambil kain baju yang tersidai di jemuran. Seronoknya, bisik abang cuaca sejuk nyaman tidur kata abang sambil tersenyum. Adikku pun turut tersenyum melihat telatah abangku. Suasana persekitaran mula menjadi gelap.

    ‘Tiupan angin semakin kencang macam nak ribut’ cakap mama perlahan ke arah kami bertiga. Mama cepat-cepat menyuruh abang mengambil penyapu lidi dan parang untuk ditaruh dianjung rumah.

    “Mengapa mama?” Tanyaku. “Petua orang-orang tua untuk mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini,” jawab mama selamba.Lingkaran ubat nyamuk pun dinyalakan, juga petua, kerana baunya boleh menghalang benda-benda atau makhluk-makhluk yang tidak diingini masuk ke rumah. Wallahuaklam 

    “Macam-macam petua orang tua ini,” bisikku. Tapi kami turuti juga arahan mama. Riak muka mama sekali-sekala menampakkan kebimbangan. Mungkin ketika itu mama berharap bapa ada di rumah.

    KEJADIAN ANEH DI KAMPUNG

    Namun kebimbangan itu cepat-cepat ditepis apabila mama mendapati kami memandang ke arahnya. Tidak ada apa yang perlu dirisaukan cuma hujan lebat sikit pujuk mama bila mendapati kami agak ketakutan.

    Maklumlah keadaan yang ceria kini tiba-tiba diselubungi oleh suasana gelap seperti pekat malam, desiran angin sungguh menyeramkan. Kami nyalakan lampu minyak dan lilin.

    Ketika itu rumah kami belum ada bekalan letrik sendiri. Kami hanya menyambung dari jiran kami yang terdekat. Rasa mengantuk mulai hilang. Mama dan kami bertiga duduk berhimpun di ruang tamu samibl melihat dan meninjau keadaan di luar.

    Dalam hatiku berdoa agar bapa balik petang itu. Tiba-tiba terdengar teriakan dari jiran kami memecah kesuraman petang itu! Subhanallah teriaknya lagi kami bergegas keluar ke beranda.

    Bila kuingati peritiwa petang itu pasti berdiri bulu romaku. Apa yang dapat kami saksikan ialah sekeping atap zinc, entah dari mana datangnya terbang berligar-ligar di udara di jalan raya.

    Entah atap siapa, yang pasti sudah di udara seolah-olah seperti layang-layang putus tali. Yang hairannya angin walaupun kencang tetapi tidaklah begitu kencang sehingga boleh membuat atap zinc menari-nari di udara.

    Ya Allah kedengaran bisikan mama, lindungilah aku dan anak-anakku dari segala merbahaya. Aku terus memeluk mama. Atap tersebut melintasi rumah pondok di seberang jalan dan berligar-ligar di kawasan sebuah rumah yang terdapat sebatang pokok ‘membangan’.

    Atap zinc tersebut tiba-tiba jatuh terhempap di kawasan pokok ‘membangan’ itu bersebelahan dengan rumah.

    Pelik penghuni rumah itu seolah tidak sedar akan kejadian tadi. Penghuni rumah itu, seorang perempuan tua dan dua anak perempuannya ada di rumah ketika itu tapi tidak sedar akan peristiwa tadi. Namun tidak dihairankan kerana perempuan tua itu jarang peduli dengan jiran-jirannya. Apatah lagi untuk menghadir kenduri-kenduri di kampung kami.

    Tetapi apa yang menghairankan kami dalam seminggu ada dua tiga kali rumahnya didatangi gadis-gadis lingkungan belasan tahun dan awal dua puluhan.

    Apabila perkara ini terjadi maka seluruh keadaan rumah itu kelihatan sunyi sepi, segala tingkap rumah akan tertutup rapat. Hanya sekali sekala akan kelihatan kelibat perempuan tua itu berjalan ke arah pokok membangan yang besar itu.

    Apabila gadis-gadis itu telah tiada barulah pintu tingkapnya berbuka. Wallahuaklam kami tidak tahu apa sebenarnya berlaku sehinggalah pada hari kejadian itu.

    Pak Onn, jiranku yang tinggal di hadapan cepat-cepat ke rumah pondok bersebelahan dekat pokok membangan kerana rumah tersebut didiami oleh seorang tua yang agak uzur dan berseorangan lalu membawanya ke rumah.

    BEBOLA API MUNCUL

    Keadaan hujan lebat menyukarkan pergerakan orang tua itu. Mujurlah anak lelaki Pak Onn ada di rumah ketika itu lalu membantu memapah orang itu.

    Mama, apabila saja melihat kelibat Pak Onn dan anak lelaki terus menarik nafas lega. Dalam keadaan kelam kabut begini senang juga rasa hati apabila ada kehadiran lelaki di rumah.

    Barangkali Pak Onn cuti hari ini, bisik mama kerana Pak Onn selalunya ada di rumah pada waktu lewat petang saja.

    Belumpun sempat meleraikan degupan jantung dari kejadian tadi kami dikejuti dengan kejadian yang sungguh menakjubkan dari selekoh bukit di hadapan rumah Pak Onn bergoleklah di atas jalan raya itu bebola api, perlahan-lahan sambil mengeluarkan percikan anak-anak api.

    Bebola api yang ‘sepemaluk’ besarnya kelihatan bengis dan garang. Subhanallah…entah dari mana datangnya bisikan mama lalu membaca ayat-ayat suci dan memohon agar kami anak beranak, serta jiran-jiran kami terselamat dari bencana tersebut.

    Kerana agak risau entah apa lagi peristiwa akan dihadapi, mama terus membawa kami bertiga, di dalam hujan itu menuju ke rumah Pak Onn. Isteri Pak Onn cepat-cepat menyambut kami dengan memberi tuala. Pak Onn dan orang tua itu, Pak Haji Saad, sedang duduk di hujung serambi sambil membaca ayat suci Al-Quran.

    Pak Onn memberi isyarat agar kami duduk diam-diam. Selepas itu mereka berdua pun bingkas bangun lalu menuju keluar. Kami semua pun turut serta. Bebola api itu masih berlegar-legar di atas jalan raya lalu menuju perlahan-lahan ke arah pokok membangan tadi. Astragfirullah… bisik mama… ke sana lagi tujunya tadi atap zinc kini bebola api entah apakah yang akan berlaku… bisik mama kepada isteri Pak Onn.

    Kami yang masih mentah itu hanya terpinga-pinga melihat keajaiban dan kebesaran Maha Esa.

    Pak Onn dan Pak Haji Saad kelihatan gusar kerana tidak terdaya untuk memberi amaran kepada penghuni rumah tersebut. Maklumlah ketika itu talian telefon belum ada lagi.

    Syukur juga bebola api itu hanya berlegar-legar di kawasan pokok membangan itu.

    Tapi aneh tidak terbakar apa-apa meskipun apinya kelihatan menyala dengan kuatnya.

    Tiba-tiba bebola api berhenti di bawah pohon tersebut dan sekelip mata hilang dari pandangan mata semua.

    Kami semua yang menyaksikan kejadian itu seolah-olah tidak percaya apa yang dilihat dan seperti berada dalam mimpi, yang pelik tapi nyata seperti kejadian awal tadi penghuni rumah tersebut seolah-olah tidak sedar akan kejadian yang baru berlaku ini.

    Apabila kanak-kanak sibuk bercerita pasal dua kejadian tadi, Pak Haji Saad duduk dan menyepi sahaja tiba-tiba dia bersuara perlahan dan menyuruh kami diam seketika. Pak Onn hairan dengan telatah Pak Haji Saad. “Tidak kamu hairan yang penghuni dalam rumah itu tidak sedar akan kejadian aneh ini?”

    Kami semua terdiam dan mengimbas balik kejadian itu. Jiran-jiran kami yang lain semua melihat dan menyaksikan kecuali penghuni rumah tersebut seolah ditulikan telinga mereka dan ditutup mata mereka untuk menyaksikan kebesaran Allah Maha Esa. “Yalah Pak Haji” Pak Onn bersuara. “Selama ini kita hanya mengenali jiran kita tu dari jauh saja kecuali Pak Haji kerana Pak Haji sajalah jiran yang terdekat,” ujarnya.

    “Sebenarnya banyak perkara-perkara yang tidak baik berlaku di rumah tersebut dan di kawasan pokok membangan tersebut. Hanya Allah saja mengetahui apa yang tersembunyi dan tersirat.

    “Syukur Alhamdulillah kita semua terselamat dari bencana tadi. Biarlah ia menjadi pengajaran buat kita semua kerana apa segala perbuatan kita Allah Maha Mengetahui dan kembalilah kita ke jalan Allah,” tambahnya.

    Pak Haji Saad telah memberitahu perkara di sebalik kejadian tadi.Rupa-rupanya selama ini perempuan tua di rumah tersebut telah melakukan perbuatan yang diharamkan di sisi agama.

    Di bawah pokok membangan itulah bersemadinya entah beberapa jasad yang tidak berdosa hanya dosa dari ayah atau ibu mereka. Wallahuaklam semoga ianya menjadi garis pandu dalam menghadapi perjuangan kehidupan kita seharian.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda