Oleh Masnonah AB –
Tahun 1991 yang lalu, aku dibawa kakak ipar serta sepupuku Jamisah pergi melawat ke Kuala Belait. Waktu itu kakak ipar jadi driver kami kerana abangku masih kursus di luar negara. Kereta yang dipandu kakak iparku begitu laju. Sesampai kami di Kuala Belait, kami melepas keluh dan penat lelah selepas perjalanan yang lama sehingga menjadikan sengal-sengal badan. Kami pun duduk di sebuah restoran untuk mengalas perut. Selesai makan, kami pun mencari hotel untuk berehat seketika. Di tengah Pekan Kuala Belait itu tidak ada sebuah pun hotel.
“Mustahil hotel tak ada disini kak… kan abang dulu pernah kata pada kakak kan hotel di Kuala Belait ni banyak,” kataku kepada kakak ipar.
“Bukan saja kau tak nampak hotel di sini, aku pun tak nampak, kakak pun begitu juga. Barangkali ada yang membutakan pandangan kitani ani, aneh betul juga siang ani,” kata Jamisah pula.
“Bah, jangan tah cabul-cabul mulut siang Jumaat ani karang malam ada tah hantu mu, mau kau… diam tah jangan banyak cakap… jom kita pergi hotel lain,” balas kakak ipar.
Aku ketawa kecil kerana Jamisah. Jamisah menjelingku sekadar melepas marahnya padaku tapi ia tak kecil hati. Sejauh tiga batu perjalanan kami, hotel Bintang Plaza kami temui di situ. Hotel ini terpencil dari Pekan Kuala Belait. Bangunannya tidaklah seindah mana tapi ia sudah lama terpacak macam tunggul di situ. Bangunan itu cuma setinggi enam tingkat.

Hotel itu serupa macam Hotel Sheraton Utama yang terdapat di Bandar Seri Begawan.
Yang hairannya ialah apabila kami masuk untuk mengambil kunci bilik yang ada dua katil sahaja. Pelayannya mirip-mirip belaka seolah-olah mereka dilahirkan dari keturunan yang kembar. Aku berasa aneh dan ganjil begitu juga perasaan Jamisah dan kakak ipar. Setelah masuk ke bilik, bilik itu berhawa dingin terlalu sejuk. Kakak ipar sudah pun menaikkan suhu penghawa dingin namun ia tetap berfungsi seperti sediakala. Jamisah cuba menutup suisnya tapi suisnya pula keras dan kipas anginnya tidak dapat dibuka, suisnya pula rosak. Malam Jumaat itu, kami tidak ke mana-mana sebab takut. Kami juga ada membawa barang makanan sendiri bagi menjimatkan kos di hotel itu.
Selesai makan, aku cuba membuka kipas angin lagi tapi rosak. Kakak ipar melaporkan hal kerosakan di bilik tersebut kepada kakitangan hotel. Mereka memberitahu kami bahawa bilik itu belum dapat diperbaiki kerana tidak ada bilik lain untuk ditukar, kakitangannya pula berdalih bilik di hotel itu semuanya penuh. Sedangkan kereta pelancong di bawah letaknya cuma ada dua buah sahaja termasuk kereta kami. Kelam Kabut kami dibuatnya, kami terus masuk dan tidur.
Baru saja dua jam aku tidur waktu itu, Jamisah tiba-tiba mengejutkanku,ia memberitahu ada orang melintas di katilnya sedangkan aku tidur di lantai beralas selimut,bantal dan permaidani. Entah siapa orang itu. Kakak ipar sedang tidur lena. Jamisah ketakutan begitu juga aku. Aku terpaksa berjaga bercekang mata. Kami pun duduk di lantai dekat katil kakak ipar. Katil sebuah itu langsung tidak berpenghuni, cuma penghawa dingin kedengaran berputar kuat dan nyaring sekali. Secara ghaib saja katil kosong itu diduduki seorang perawan cantik, berpakaian hodoh,berlumuran darah dari skirtnya hingga ke betis. Kami benar-benar takut dan berpelukan sesama sendiri. Mulutku terkunci sama sekali hendak berteriak pun susah begitu juga Jamisah. Kami sedaya upaya mengejutkan kakak ipar tapi kakak ipar seperti tidur membatu.
Jangan takut adikku, aku adalah contoh teladan bagimu, bilik dalam hotel ini adalah bekas aku dirogol lelaki jahanam.
Lelaki itu keturunan orang kaya, pemilik darjat dan harta tapi tidak menghormati gadis miskin seperti aku. Rohku tidak tenang di sini adikku, di sini aku dibunuh dengan kejam.”Terang perawan itu sambil menangis. Tangisnya menghibakan jiwaku, aku tersentuh atas segala ucapannya yang terkata itu. Jamisah juga turut tersedu. Sedangkan kakak ipar masih tidur lena. Cermin jendela itu tiba-tiba terbuka sendiri dan ada jambatan panjang menuju tujuh petala langit turun sampai ke destinasi, seorang lelaki berjubah putih memangku seorang anak kecil menuju bilik kami.la memakai kopiah putih dan berkumis tebal putih beruban panjang mencecah dadanya.
“Demi Allah, pulanglah wahai para syuhada yang mati syahid bersama anakmu yang ku pangku ini, rohmu akan tenang di alam barzakh, moga-moga Allah ringankan seksamu. Pulanglah Syuhada….,” kata lelaki berjubah putih itu. Perawan itu pun berjalan melintasi jambatan panjang dengan memangku anak kecilnya. Kemudian hilanglah sudah cahaya putih tadi dan hotel itu kembali sedia kala. Kami pun tidur nyenyak tanpa ada gangguan yang tidak diingini. Apabila siang menjelma, kakak ipar mengejutkan kami.
“Eh… kenapa pula berada di hospital Belait ani, kan tadi kita berada di hotel! Betulkan Misah,” aku terkejut besar.
“Oh yah…yah…tadi kami tidur di hotel,” seru Jamisah dengan suara yang serius.
“Hotel… hotel mana? Di sini bukan hospital Belait. ini hospital RIPAS faham kau?” jelas emak.
“Rupanya mimpi khayalan lagi yah, patutlah penasaran benar,” kata bapa.
Abang dan kakak ipar ketawa berdekah-dekah, kami pula merasa malu. Maklum saja mimpi panjang akibat kemalangan kereta minggu lalu itulah tidur dalam koma tak sedar-sedar lagi. Kata orang tidur mati hidup semula. Itulah rasanya sesudah kemalangan.

