TOKYO, 25 NOV – Polis di Jepun sebelum ini menyangka ada pencuri kasut di sebuah tadika di barat daya negara itu. Namun, rakaman kamera keselamatan mendedahkan pelaku sebenar adalah sejenis memerang.
Rakaman video menunjukkan mamalia itu membawa kasut kecil di dalam mulutnya. Penemuan tersebut berlaku selepas polis memasang tiga kamera keselamatan di tadika berkenaan di wilayah Fukuoka.
“Ia sangat melegakan kerana akhirnya didapati ia bukan manusia,” kata Timbalan Ketua Polis, Hiroaki Inada kepada The Associated Press, kelmarin. Guru dan ibu bapa sebelum ini bimbang ia mungkin individu yang bermasalah dengan tabiat mencuri kasut.
Mengikut kebiasaan masyarakat di Jepun, kasut biasanya ditanggalkan sebelum memasuki bangunan. Kasut yang hilang adalah kasut kanvas putih jenis slip-on yang digunakan kanak-kanak di dalam bangunan dan disimpan di rak berhampiran pintu masuk.
Memerang diketahui gemar menyembunyikan barang dan pemilik memerang sebagai haiwan peliharaan biasanya memberikan mainan untuk disembunyikan.
Sebelum pihak polis dipanggil, memerang tersebut sudah mengambil 15 pasang kasut. Enam lagi kasut hilang pada keesokan harinya. Memerang itu kembali pada 11 November lalu mencuri satu lagi kasut. Rakaman video kejadian itu disaksikan pada keesokan harinya.
“Kami sangat lega,” kata Pengarah Tadika Gosho Kodomo-en, Yoshihide Saito kepada stesen penyiaran Jepun, RKB Mainichi Broadcasting.
Kanak-kanak tadika turut ketawa apabila melihat video memerang tersebut. Walaupun kasut-kasut yang dicuri tidak dijumpai, langkah keselamatan telah diambil dengan memasang perangkap pada rak kasut untuk mencegah insiden serupa. Memerang liar yang dipercayai bertanggungjawab dalam insiden tersebut masih bebas. – AP