Thursday, April 24, 2025
30.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Misteri kerbau besar di Sungai Batu Apoi

    Oleh Tinoi –

    Pak Awang sudah biasa turun mengail di Sungai Batu Apoi. Sungai itu terkenal dengan udang galahnya bersapit biru yang besar-besar.

    Namun, di mana ada udang galah, di situ juga ada buaya. Buaya di Sungai Batu Apoi terkenal ganas, tetapi menurut cerita orang-orang lama, ia tidak akan mengganggu sesiapa selagi tiada yang kepunan.

    Kepunan secara umumnya bermaksud jika ada hasrat ingin memakan sesuatu harus dilaksanakan sebelum turun mengail, jika tidak kesampaian pasti akan mengundang sesuatu yang tidak baik atau jika ada yang mengajak makan, orang yang hendak turun mengail itu, harus menjamah makanan tersebut walaupun tidak memakannya.

    Pagi itu, seawal waktu Subuh, Pak Awang mengayuh sampannya perlahan-lahan menyusuri sungai yang masih diselubungi kabus tebal. Udara sejuk menyapa kulit dan hanya bunyi unggas serta aliran air yang menemani perjalanannya.

    Setibanya di tempat kegemarannya, Pak Awang membetulkan duduknya, memasang umpan di mata kail, lalu melepaskan tali pancing ke dalam air.

    Gambar Agensi

    Suasana masih sunyi, hanya sesekali terdengar bunyi ikan melompat ke permukaan.

    Tiba-tiba, dari seberang sungai, terdengar bunyi ranting patah. Pak Awang mengangkat kepalanya. Matanya tertumpu pada sesuatu yang aneh – kelibat seekor kerbau besar berdiri di tengah hutan, tidak jauh dari tebing sungai. Bulu kerbau itu hitam legam, matanya merah menyala dan badannya lebih besar daripada kerbau biasa.

    Hati Pak Awang mula berdebar. “Sejak bila ada kerbau di tengah hutan?” bisiknya sendirian. Kampung terdekat pun jauh dari sini, mustahil ada ternakan merayau sampai ke sini.

    Kerbau itu berdiri kaku, seolah-olah sedang memerhatikan Pak Awang. Nafasnya kelihatan seperti wap yang keluar dalam udara pagi yang dingin. Seketika kemudian, kerbau itu mengangkat kepalanya dan mengeluarkan bunyi dengusan yang dalam.

    Pak Awang tidak menunggu lebih lama. Dia segera mengemaskan pancingnya dan mengayuh sampannya sejauh mungkin dari kawasan itu.

    Sepanjang perjalanan pulang, perasaan tidak enak menyelubungi dirinya. Walaupun dia sudah biasa dengan cerita-cerita misteri sungai ini, perasaannya kali ini berbeza – seakan ada sesuatu yang mengikutnya dari jauh.

    Setibanya di rumah, dia menceritakan pengalaman itu kepada isterinya. Wajah isterinya berubah. “Pak Awang… orang tua-tua pernah cerita, di hutan seberang Sungai Batu Apoi ada penunggu yang menyerupai kerbau hitam besar. Ia bukan kerbau biasa, tapi makhluk ghaib yang menjaga hutan itu…”

    Pak Awang terkedu. Sejak pagi itu, dia tidak lagi berani turun mengail di sungai itu seorang diri. Misteri kerbau besar di Sungai Batu Apoi kekal menjadi tanda tanya hingga ke hari ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda