Misteri percintaan dan pembunuhan

Ulasan buku oleh Raz AS

NOVEL The Clockmaker’s Daughter adalah sebuah novel menarik terbaharu daripada penulis novel The Lake House, Kate Morton, yang mengisahkan tentang percintaan dan misteri pembunuhan yang meninggalkan bayangannya merentas generasi berlatarbelakangkan England tahun 1860an ke masa sekarang.

Tiada siapa yang ingat kepada namanya yang sebenar. Kebenaran di sebalik musim panas itu, tidak sesiapa pun yang mengetahuinya.

Pada musim panas 1862, sekumpulan karyawan muda yang diketuai oleh Edward Radcliffe yang berbakat dan cintakan seni, datang ke Birchwood Manor di pinggir Upper Thames. Mereka bercadang untuk menghabiskan musim panas mereka jauh dari kesibukan kota untuk mencari sumber inspirasi dan kreativiti.

Walau bagaimanapun, di penghujung penginapan mereka di sana, seorang wanita telah mati dibunuh manakala seorang lagi menghilang diri, sebuah harta warisan yang tidak ternilai harganya turut didapati hilang dan kehidupan Edward musnah.

Lebih dari 150 tahun kemudian, Elodie Winslow, seorang penjaga arkib di London, telah menjumpai sebuah beg kulit yang mengandungi dua barang yang sepertinya sama sekali tidak mempunyai hubung kait. Sekeping foto lama wanita yang mengenakan pakaian zaman Victoria dan buku sketsa yang mengandungi lukisan sebuah rumah kembar di tepi sungai.

Kenapakah Elodie merasakan bahawa dirinya mengenali rumah yang dikenali sebagai Birchwood Manor itu?

Dan siapakah wanita cantik di dalam foto lama itu? Adakah semua rahsianya akan terbongkar satu demi satu?

Menceritakannya di atas hamparan kepingan-kepingan muka surat, adalah suara seorang wanita yang tidak dipengaruhi masa, yang namanya telah lama dilupakan sejarah, namun melihat semuanya yang telah berlaku, Birdie Bell, anak gadis si pembuat jam.

Diceritakan melalui pelbagai suara yang merentas zaman, novel The Clockmaker’s Daughter adalah sebuah kisah mengenai pembunuhan, misteri dan pencurian karya seni, percintaan dan kehilangan.