Tuesday, December 3, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Misteri rumah kosong di hujung kampung

    Oleh Zirul –

    Sudah lama aku dengar kisah rumah kosong terbiar di hujung kampung yang orang kata berhantu. Terletak di kawasan agak sunyi dan jauh dari rumah penduduk lain, rumah itu selalu jadi buah mulut orang kampung. Katanya, bunyi-bunyi aneh kedengaran setiap malam – pintu yang berderit, suara orang berjalan, bahkan sesekali bayangan kelihatan bergerak di tingkap yang pecah.

    Suatu malam, aku dan sahabatku, Farid, yang sering mencari pengalaman seram, beranikan diri untuk pergi. Kami tiba di rumah itu ketika waktu sudah lewat malam. Cahaya bulan separuh tersembunyi di balik awan, cukup memberikan suasana suram.

    “Aku rasa inda ngam tah ni, bro. Banyak sudah cerita orang kampung sini pasal rumah ni,” bisik Farid, sambil memandang sekeliling dengan wajah resah.

    “Tenang tah kau, Farid. Kitani masuk saja, tengok saja ada apa dalam rumah ani. Mun takut, balik tah,” aku cuba memujuknya, meskipun dalam hati ada sedikit rasa takut.

    Kami melangkah masuk ke dalam rumah yang kusam dan berdebu. Pintu kayu berderit kuat, seolah-olah menyambut kehadiran kami dengan penuh misteri. Suasana dalam rumah itu gelap dan dingin. Ada bau yang tak enak, seperti bau kayu lapuk yang lama tak disentuh.

    Foto Canva

    “Kau ada terhidu something?” Farid menutup hidungnya.

    “Macam bau karang bah,” ujarnya.

    Aku mengangguk. Kami terus berjalan di ruang tamu yang penuh dengan sarang labah-labah.

    Tiba-tiba, kedengaran bunyi derapan kaki di tingkat atas, seolah-olah ada seseorang yang sedang berjalan.

    “Kau dengar inda tu?” bisik Farid, matanya membulat, wajahnya pucat.

    “Awu, tapi barangkali tikus kali bah tu,” jawabku, meskipun aku sendiri tidak yakin.

    Kami memutuskan untuk naik ke tingkat atas. Tangga kayu usang itu berderak-derak setiap kali dipijak.

    Setibanya di atas, suasana jadi lebih menyeramkan. Sebuah koridor panjang terbentang, dengan beberapa pintu yang setengah terbuka. Angin dingin meniup wajahku, membuatkan bulu romaku meremang.

    “Eh, ada suara orang berbisik ni, kau dengar kah?” tanya Farid sambil menoleh ke arah salah satu pintu.

    Aku mengangguk. Memang jelas kedengaran suara bisikan, namun tak dapat difahami apa yang dibicarakan.

    Kami menghampiri pintu tersebut, perlahan-lahan membukanya. Seketika itu, cahaya bulan yang masuk dari tingkap menerangi sedikit ruangan. Kosong, hanya perabot usang dan debu yang tebal menghampari lantai.

    “Kau rasa selamat kah kalau kitani di sini?” Farid mula gelisah.

    “Jangan tah pikir macam-macam. Sekejap saja kita periksa sini, lepastu balik,” balasku sambil cuba menenangkan.

    Tiba-tiba, satu suara garau bergema di ruangan, “Apa kamu buat di sini?”

    Kami terdiam, saling berpandangan, kaku. Suara itu muncul tanpa kami tahu dari mana datangnya. Jantungku berdegup kencang. Farid menggigil, wajahnya putih seputih kertas.

    “Bah, baik tah kitani keluar sekarang, bro,” katanya, sambil menarik tanganku.

    Aku tidak menunggu lama. Kami berlari menuruni tangga, melolos pintu utama yang masih terbuka dan terus berlari ke arah jalan besar tanpa menoleh ke belakang. Nafasku tercungap-cungap, tetapi aku tidak peduli.

    “Aku inda akan kembali ke rumah tu lagi. Sampai bila-bila!”ujar Farid tegas.

    Kami meninggalkan rumah terbiar itu malam itu, dengan perasaan yang bercampur-baur antara ketakutan dan kelegaan.

    Sejak malam itu, rumah tersebut menjadi kenangan yang kekal terpahat dalam ingatanku.

    Sebuah kenangan tentang bayangan, suara dan kehadiran yang tidak terlihat, namun terasa begitu nyata.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda