ULASAN BUKU OLEH RAZ AS
SEBUAH novel seram yang mengisahkan tentang pasangan muda yang telah membeli dan tinggal di sebuah rumah yang berpenunggu, itulah yang ditampilkan di dalam The Grip of It karya Jac Jemc.
Pasangan Julie dan James telah berpindah ke sebuah rumah di pekan kecil di pinggir bandar di mana mereka mula-mula bertemu. Perpindahan tersebut adalah berpunca daripada kegagalan James untuk mengawal ketagihan berjudinya.
Oleh yang demikian, pasangan tersebut berharap dengan berpindah mereka boleh memulakan hidup baru dan gembira.
Akan tetapi rumah tersebut dan kawasannya yang terletak di antara lautan dan belantara mempunyai sejarahnya yang tersendiri.
Kejadian-kejadian aneh semakin banyak berlaku.

Dengan binaannya yang aneh dan dipenuhi bilik-bilik rahsia, ukiran-ukiran dan kesan-kesan di dinding muncul dan menghilang.
Bahkan tubuh badan Julie mempunyai lebam-lebam aneh seperti peta. Pili air mengeluarkan air keruh yang jijik.
Dalam keadaan panik, pasangan tersebut cuba mencari punca kejadian-kejadian aneh yang menghantui mereka, yang akan membawa mereka mengenali sejarah tentang jiran tetangga dan penduduk misteri yang pernah tinggal di rumah tersebut sebelum mereka.