ULASAN BUKU OLEH RAZ AS
DARIPADA penulis tersohor, Laurel Snyder, telah terbit sebuah novel berjudul Orphan Island, sebuah novel yang unik dan menyentuh perasaan mengenai sembilan orang kanak-kanak yang tinggal di sebuah pulau yang penuh misteri.
Kehidupan di atas pulau tersebut semuanya adalah sempurna. Matahari yang terbit di langit yang cerah, angin bertiup sepoi-sepoi dan pokok-pokok yang menjadi tempat berteduh dan melindungi siapa sahaja yang jadi penghuninya. Setiap kali sembilan orang kanak-kanak itu masuk tidur di dalam kabin mereka, hati mereka sentiasa dipenuhi dengan kegirangan dan perut yang kenyang.
Hanya satu yang akan berubah di atas pulau tersebut. Pada hari yang sama setiap tahun, sebuah bot akan muncul di sebalik kabus yang menutupi lautan, membawa bersamanya seorang kanak-kanak muda untuk tinggal bersama mereka di atas pulau tersebut, manakala kanak-kanak yang paling tua pula akan dibawa pergi dan tidak akan pernah kelihatan lagi.

Hari ini, bot tersebut datang lagi, dan membawa rakan baik Jinny, Deen, dan menukarkannya dengan seorang gadis kecil bernama Ess, menjadikan Jinny kanak-kanak yang paling tua dalam kalangan mereka.
Jinny kini mempunyai tanggungjawab untuk mengajar Ess tentang kehidupan rutin mereka di pulau tersebut. Namun jika sekiranya bot itu datang kembali pada tahun akan datang, bersediakah dia untuk meninggalkan satu-satunya tempat yang dianggapnya rumah itu buat selama-lamanya?