Oleh Airul –
Aku ingin berkongsi cerita pelik dan misteri yang berlaku kepada ku pada waktu siang sekitar tahun lepas di sebuah sekolah kawasan bandar.
Sebelum kejadian, saya sudah berjanji bersama rakan saya Mila, untuk berjumpa dengannya di bilik kelas selesai kami bermesyuarat bersama guru-guru lain.
Aku pun menuju ke bilik kelas Mila yang terletak di blok lain.
Setelah tiba di depan pintu biliknya, aku menyangka Mila ada di dalam.
Dengan cubaan untuk mengejutkannya, perlahan-lahan aku pegang tombol pintu dan cuba membukanya.

Tiba-tiba, satu suara halus dan jelas kedengaran daripada sebelah pintu. Suara seorang wanita muda bertanya, “Sapa tu?”
Dengan pecah ketawa, aku menjawab, “Aku ni Tini.”
Aku menunggunya untuk membuka pintu, lama dan tidak juga ada bunyi tapak kakinya.
Aku mula menyubuk ke dalam bilik melalui jendela. Kosong. Tidak ada sesiapa. Jantungku berdegup laju. Siapa tadi yang bersuara? Aku berpaling tanpa menoleh lagi dan terus menuju ke kereta.
Bulu romaku mula meremang.
Namun, rasa ingin tahu masih kuat. Aku menunggunya di dalam kereta, menunggu seketika. Mungkin Mila sedang sembahyang? Tapi perasaan tidak nyaman semakin menjadi-jadi. Aku beralih dan memarkir kereta di kawasan dewan, lalu menghantar mesej kepada kumpulan WhatsApp.
“Mana kamu? Mila mana,” tanyaku.
“Kami masih dalam dewan,” jawab mereka.
Aku tersentak. Jadi, siapakah yang membalas cakap ku tadi?
Aku memberitahu mereka tentang suara yang ku dengar. Rakan-rakanku hanya membalas dengan gelak kecil dan menakut-nakutkan ku.
Aku menarik nafas dalam-dalam, cuba menenangkan diri.
Selepas itu, aku yang masih dalam kebimbangan dan khuatir makhluk itu mengekori ku, aku pun keluar dari kereta dan memberi kata-kata kepada makhluk itu.
“Tinggal tah ko sini jangan ikut aku..,” kataku sedikit gementar walaupun makhluk itu tidak kelihatan.
Selepas itu, aku pun memandu menuju ke arah rakan-rakanku dan menceritakan kejadian tersebut.
Mereka yang sudah maklum dengan cerita-cerita aneh, pelik di sekolah itu turut mengakui bukan aku seorang yang pernah mengalami kejadian itu, bahkan, pengawal keselamatan juga pernah diganggu.
Mereka juga memberitahu, lembaga itu boleh jadi puntianak yang suka mengacau di sekolah itu tidak kira waktu.
Jika terkenang semula, aku memang jelas terdengar suara halus tersebut yang masih terngiang-ngiang di telingaku.