PLOUARZEL, Perancis, 29 Mac – Lebih 30 tahun telefon jingga terang ‘Garfield’ hanyut di pantai Perancis membingungkan para pembersih pantai setempat, yang akhirnya dapat merungkai misteri di sebailknya.
Penduduk-penduduk telah lama mengesyaki kontena kapal yang telah hilang adalah punca telefon Garfield, yang sering ditemukan di pantai utara Finistere selama berdekad-dekad lamanya.
“Pertubuhan kami telah wujud selama 18 tahun dan dalam tempoh itu kami telah menemukan banyak telefon Garfield hampir setiap kali kami membersihkannya,” ujar Claire Simonin, ketua kumpulan membersih pantai setempat Ar Viltansou di Brittany.
Namun semua itu hanyalah setelah seorang penduduk setempat mendedahkan bahawa dia menemukan kontena selepas kejadian ribut dalam tahun 1980an, yang akhirnya dapat mereka kesan, tersepit di sebahagian gua yang ditenggelami air dan hanya boleh dimasuki ketika paras air rendah.
“Dia memberitahu kami di mana letaknya, ia sangat-sangat berbahaya,” Simonin memberitahu AFP selepas ekspedisi untuk menjejakinya.

“Kami temukan fisur pada kedalaman 30 meter dan paling bawah terdapat saki baki sebuah kontena.
“Di bawah batu tongkol di hadapan laluan masuk, kami menemukan 23 set telefon lengkap dengan elektronik dan wayar. Ia ada di mana-mana,” tambahnya.
Namun misteri tidak sepenuhnya terungkai.
“Kami tidak tahu apa yang telah berlaku pada ketika itu, kami tidak tahu di mana datangnya, bot apa,” ujar Fabien Boileau, pengarah Iroise Marine Nature Park di Finistere.
“Dan kami tidak tahu jika beberapa kontena yang terjatuh ke dalam air atau hanya satu.”
Garfield, pertama kali diimpikan oleh pelukis ilustrasi Jim Davis dalam lewat 1970an sejak itu telah mewujudkan sebuah rancangan televisyen, filem bersiri yang dibintangi Bill Murray sebagai suara kucing itu dan empayar perdagangan bernilai ratusan juta dolar setiap tahun. – AFP