Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Misteri tujuh puteri mandi di wasai

    Oleh Min Malik –

    Mengimbas kembali kejadian 60an, ketika aku sedang berehat di bilik tamu, nenek pun bercerita kepadaku apa yang terjadi kepadanya.

    Pada tahun itu orang yang tinggal di hulu pedalaman selalu pergi ke hutan mencari sayur-sayuran dan berburu binatang.

    Begitu juga nenek selalu pergi ke hutan mencari sayur hutan dan kulat-kulat di batang kayu buruk.

    Pada ketika itu belum ada api elektrik atau paip air yang disediakan oleh kerajaan maklumlah jauh dari bandar.

    Orang di kampung nenek mandi dan mengambil air minuman dari sungai atau air hujan. Kebetulan ketika itu rumah nenek di hujung kampung.

    Gambar Freepik

    Nenek menyambung ceritanya pada ketika itu orang-orang kampung suka pergi ke wasai-wasai yang berdekatan dengan kampung. Setelah sebulan kemudian orang kampung gempar dengan kehilangan anak ketua kampung.

    Menurut ketua kampung anaknya hilang ketika dia pergi ke wasai. Sebelum sehari kejadian berlaku anaknya bermimpi memberitahu bahawa dia bertemu dengan perempuan cantik di wasai. Orang-orang kampung pun memanggil orang yang pandai melihat benda-benda halus.

    Menurutnya, anak ketua kampung itu mungkin dibawa oleh makhluk bunian penjaga wasai itu.

    Orang kampung baru sedar bahawa wasai yang bernama ‘Wasai Puteri Mandi’ yang digelar oleh penduduk kampung itu ada penunggu. Kata nenek, mereka belum menemui anak ketua kampung itu hingga sekarang.

    Pada suatu hari nenek dan ibunya hendak pergi ke hutan mencari sayur dan pucuk-pucuk umbut. Setelah berjam-jam berjalan di dalam hutan, nenek dan ibunya sesat tidak tahu ke mana jalan pulang. Mereka tidak putus asa dan terus mencari jalan pulang tapi tidak juga terjumpa.

    “Macam mana ni ma, inda kitani dapat balik rumah?” nenek pun bertanya. Jangan cakap macam atu alai, cabul jua mulutmu ani,” marah emak nenek. Lalu nenek terus diam setelah dimarahi. Ketika itu hari hampir petang.

    Ketika mereka sedang sibuk mencari jalan pulang nenek mendengar seperti ada perempuan sedang mandi. Kebetulan ketika itu nenek mendengar bunyi air terjun.

    “Ma mendengar kita bunyi perempuan mandi?” tanya nenek.

    “Mana ada lai eh barangkali alai ani salah dengar,” jawab emak nenek.

    Setelah berhenti berjalan baru emak nenek mendengar dengan jelas bunyi perempuan ketawa dan mandi.

    “Eh! Lai benar juga katamu ada bunyi perempuan mandi,” kata emak nenek.

    Nenek dan emaknya pun pergi ke tempat tersebut dengan perlahan-perlahan. Setelah tiba nenek dapati ada wasai. Mereka berdua pun melihat dari celah rimbunan pokok.

    Nenek pun terkejut apabila mendapati tujuh orang perempuan sedang mandi sambil bergurau ketawa. Mereka mandi menggunakan kain yang bersinar menutup hingga ke bahu. Mereka belum tahu kehadiran kami.

    “Eh! Lai cuba kau lihat betul-betul adakah perempuan yang kita lihat atu,” emak nenek berbisik. Nenek hanya berdiam diri sahaja. Tidak lama kemudian nenek pun berkata.

    “Mak cantik juga wajah mereka itu macam tuan puteri,” nenek mula berkata. “Benar katamu lai muka mereka berseri-seri pula tu,” jawab emak nenek.

    Tidak lama kemudian mereka pun siap mandi. Nenek dan emaknya sangat hairan dengan sekelip mata sahaja mereka sudah siap memakai pakaian. Pakaian mereka seperti anak raja. Setiap orang memakai mahkota intan di kepala. Baju mereka sangat cantik seperti anak-anak raja.

    Terlalu asyik melihat tiba-tiba nenek terpijak ranting kayu. Ketujuh-tujuh perempuan itu mendengar lalu memandang di sekeliling wasai. Mungkin mereka tahu kehadiran nenek dan ibunya. Nenek dan ibunya hanya berdiam diri dan masih bersembunyi di celah-celah rimbunan di tepi wasai.

    Tidak lama kemudian nenek mendapati ketujuh-tujuh perempuan itu seolah-olah terbang dan lama kelamaan seperti menjadi tujuh bintang dan terus terbang dengan pantas menuju ke langit.

    Terlampau asyik melihat peristiwa yang baru berlaku nenek dan ibunya baru sedar hari pun semakin gelap. Mereka pun terus mencari jalan pulang dan akhirnya mereka pun sampai juga di rumah. Keesokan harinya nenek dan ibunya menemui pawang dan menceritakan apa yang mereka lihat di wasai di dalam hutan. Pawang itu mula membaca mantera.

    Selepas itu, menurut pawang apa yang nenek dan ibunya jumpa itu adalah anak raja bunian. Pawang itu terus bercerita bahawa makhluk bunian itu berasal dari kayangan.

    Mereka turun ke dunia setiap 14 purnama untuk pergi bermain dan mandi di wasai yang tidak ditemui oleh manusia. Mereka datang ke dunia dengan berhajat baik. Nenek dan ibunya sungguh gembira kerana dapat melihat bagaimana wajah orang kayangan yang sangat cantik.

    Kata pawang itu kayangan memang wujud tetapi ada sesetengah orang tidak percaya akan kewujudannya. Kayangan itu adalah tempat dewa-dewi kata pawang itu mengakhiri perbualan.

    Nenek terus bercerita peristiwa yang terjadi bertemu makhluk bunian itu dianggap misteri dan mungkin juga kehilangan anak ketua kampung ada kaitan dengan tujuh perempuan makhluk bunian itu. Kini wasai di mana nenek dan ibunya bertemu makhluk bunian itu sudah menjadi hutan seperti tidak pernah dikunjungi lagi.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...