KUALA BELAIT, RABU – Seorang remaja berusia 16 tahun mendakwa melihat objek terbang tidak dikenali (UFO) dalam bentuk cahaya kekuningan melayang-layang di langit Kampung Lumut berdekatan rumah mereka awal pagi Selasa dan sempat merakamkannya ke dalam telefon bimbitnya.
Cahaya yang agak ganjil itu berbintik-bintik menerangi langit antara enam ke tujuh biji melayang-layang di langit kawasan perumahan itu dan kejadian itu dikatakan berlaku antara pukul 6 dan 7 pagi.
Bapanya, Zunadee Haji Rahman, 41, ketika menemui wartawan Media Permata menunjukkan rakaman cahaya yang juga dilihatnya ketika kejadian itu sambil mengatakan kehadiran cahaya ganjil itu disedari oleh anak perempuannya, Saiiedatul Ilmie, 18, ketika membuka pintu dapur.
Saiiedatul mengejutkan adiknya Awang Mohd Hafiz untuk melihat cahaya ganjil itu dan merakamkannya ke telefon bimbit mereka.
Ketika kejadian, keluarga itu masing-masing sibuk membuat persiapan untuk pergi ke sekolah dan turun bekerja dan Awang Zunadee yang terdengar riuh rendah dari dapur rumahnya turut keluar untuk melihat apa sebenarnya berlaku.
Beliau terperanjat apabila melihat cahaya berkenaan dan mendakwa cahaya itu bertambah banyak, tetapi dalam sekelip mata hilang satu demi satu dan cahaya yang penghujung pula berubah bentuk seperti sebiji batu berlian kira-kira sebesar tapak tangan dan dalam beberapa saat saja juga hilang.
Awang Zunadee mendakwa ini adalah kali kedua beliau melihatnya, yang pertama tahun lalu kira-kira satu setengah kilometer dari rumahnya.
Menurutnya pada masa itu dia melihat cahaya yang sama melayang di langit dan menurun menuju ke kawasan berdekatan dengan loji BLNG di Lumut dan menghilang dengan begitu pantas juga.
Beberapa penduduk Belait turut menghubungi media dan mendakwa mereka turut melihat kejadian itu tetapi tidak merakamkan imej kejadian itu.
Sementara itu Awang Hazarry Haji Ali Ahmad dari Persatuan Astronomi Brunei berkata cahaya-cahaya itu mungkin adalah taburan meteor kerana Pertubuhan Meteor Antarabangsa mengesahkan 17 Julai hingga 24 Ogos adalah musim tahi bintang. Kejadian itu akan mencapai kemuncaknya pada 12 Ogos.
“Kelajuan taburan meteor itu selalunya akan pecah kerana tekanan udara dan haba. Ini selalunya hanya selama beberapa saat.
“Tetapi kejadian itu belum dapat dipastikan kerana mereka mendakwa melihat kehadiran cahaya di langit itu selama lebih 30 minit,” tambahnya.
Planet Zuhrah juga mempunyai tempoh yang sangat terang dan boleh disalahertikan sebagai objek pelik, jelasnya.
Awang Hazzary menyatakan ini adalah laporan pertama kejadian pelik di langit di Brunei yang diterimanya pada tahun ini dan menurutnya beliau pernah menerima laporan kehadiran objek terbang di langit di Kampung Manggis, Bandar Seri Begawan tahun lalu.