KUALA LUMPUR, 27 Feb – Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri (MITI) hari ini telah mengambil inisiatif menjadi kementerian pertama menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Langkah pro-aktif ini adalah selaras dengan misi dan visi negara ke arah membentuk negara yang bersih dari segala amalan rasuah dan salah guna kuasa.
Majlis menandatangani ikrar tersebut telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Seri J. Jayasiri, Ketua Setiausaha MITI sambil disaksikan oleh Dato’ Shamshun Baharin Mohd Jamil, Timbalan Ketua Pengarah (Pencegahan) SPRM di Menara MITI, Kuala Lumpur.
Seluruh warga kerja MITI juga telah melafazkan ikrar dan menandatangani IBR sebagai satu janji bukan sahaja kepada MITI dan juga Kerajaan, malah ia adalah satu komitmen kepada diri sendiri yang mendokong amanat agama untuk membentuk dan menjalani kehidupan yang lebih baik agar kehidupan diberkati.Sebagai permulaan, pengurusan tertinggi, pengarah kanan, pengarah dan pengarah MITI Wilayah telah menandatangani IBR yang mana kemudiannya akan disusuli oleh seluruh warga MITI.
Menurut Datuk Seri J. Jayasiri, selain dari berusaha meningkatkan kemasukan pelaburan dan daya saing negara, visi beliau sebagai Ketua Setiausaha MITI adalah untuk mewujudkan sebuah urus tadbir organisasi yang kukuh dari segi asasnya kerana beliau percaya, asas yang kukuh dan berintegriti akan menjadi pemangkin kepada urus tadbir yang cemerlang dan menjamin kepada tahap integriti yang tinggi. Dengan nilai didikan integriti inilah ia akan menjadi benteng yang menghalang segala cubaan dan rayuan yang boleh menjerumus ke kancah perbuatan yang tidak bermoral yang meruntuhkan organisasi seperti amalan rasuah.
MITI juga telah mengambil beberapa langkah pencegahan untuk mengurangkan ruang berlakunya rasuah atau lain-lain amalan yang tidak berintegriti. Contohnya Kementerian mengadakan job rotation atau pusingan kerja di bahagian-bahagian sensitif tertentu. Selain itu semua permohonan untuk permit atau lessen diproses melalui online atau atas talian untuk mengurangkan pertemuan ‘face to face’.Di samping itu, MITI juga mempunyai standard operating procedure serta client charter yang jelas dan telus. – Bernama