Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 MEI – Dalam meraikan Sambutan Hari Raya Aidilfitri dan mempererat hubungan silaturahim, Mitsubishi Corporation telah mengadakan pejabat terbuka hari ini yang berlangsung di Serambi Suluh, Tarindak D’Seni di ibu negara.
Acara tersebut dihadiri oleh pelbagai tetamu undangan yang disambut oleh Wakil Negara Mitsubishi Corporation bagi Negara Brunei Darussalam, Tadashi Hara serta para pegawai dan kakitangannya.
Dalam ucapannya, Tadashi Hara menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan dan bimbingan kepada perusahaan itu selama ini.
Beliau menekankan tanpa sokongan tersebut, Mitsubishi Corporation tidak akan dapat bertahan dan menjadi bahagian penting dalam masyarakat Brunei selama lebih dari 50 tahun.
Tadashi Hara juga berkongsi sejarah panjang Mitsubishi Corporation, mulai dari awal penubuhannya pada tahun 1960an hingga ke hari ini, sebagai bentuk penghargaan atas perjalanan perusahaan tersebut di negara ini.
Selain itu, acara tersebut juga diserikan dengan penyerahan sumbangan kepada anak-anak yatim dari Sekolah Menengah Rimba II, yang disempurnakan oleh Tadashi Hara.
Para tetamu undangan, yang terdiri daripada rakan kongsi, kenalan serta pihak berkepentingan turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian dan iringan muzik.



