Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OGOS – Mitsubishi Corporation melalui Pejabat Perhubungan Brunei, dengan kerjasama Green Brunei dan sokongan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Jabatan Sekolah-sekolah (JSS), Kementerian Pendidikan, dan Jabatan Perhutanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) telah melancarkan Projek Pembangunan Sosial di Kampong Ayer Edisi Kedua yang berlangsung di Masjid Perdana Wangsa Haji Mohammad, Kampung Setia, pagi tadi.
Projek tersebut bertujuan mencapai dua matlamat utama, iaitu membaiki laluan di Kampung Setia ‘A’ Zon 2 Kampong Ayer dan menganjurkan lawatan pendidikan ke Pusat Biodiversiti Hutan Tropika, Sungai Liang yang melibatkan lima buah sekolah, Sekolah Rendah Sungai Siamas, Sekolah Rendah Pehin Dato Jamil, Sekolah Rendah Bendahara Lama, Sekolah Rendah Saba Darat dan Sekolah Rendah Haji Tarif.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis pelancaran projek berkenaan ialah Pengiran Asmali @ Ali Shafie bin Pengiran Haji Abas selaku wakil dari JSS, Kementerian Pendidikan sekali gus menyempurnakan sesi pelepasan untuk 20 orang murid Sekolah Rendah Sungai Siamas bersama tiga orang guru pengawas untuk mengikuti lawatan sambil belajar ke Pusat Biodiversiti Hutan Tropika, Sungai Liang.
Turut hadir ialah wakil dari Jabatan Daerah Brunei dan Muara, KHEDN, Pengiran Kamal Ariffin bin Pengiran Haji Mohd Yassin; Penghulu Mukim Zon 2 Kampong Ayer dan Pemangku Penghulu Mukim Zon 1 Kampong Ayer, Awang Raimi bin Awang Rashid; Pemangku Ketua Kampung Zon 1 Kampong Ayer, Haji Tarip bin Haji Asgar; Pemangku Ketua Kampung Zon 2 Kampong Ayer, Haji Mayalin bin Haji Saat; dan Pemangku Ketua Kampung Zon 3 Kampong Ayer, Awang Rahman bin Haji Kassim.
Dalam ucapan alu-aluan, Sayaka Adachi bagi mewakili Tadashi Hara selaku Wakil Negara, Mitsubishi Corporation, antaranya menekankan bahawa pelaksanaan projek itu bertujuan meningkatkan struktur laluan jambatan untuk keselamatan penduduk di mana kerja pembaikannya akan bermula hari ini sehingga akhir bulan, di samping lima lawatan sambil belajar telah dirancang untuk pelajar di sekolah-sekolah sekitar Kampong Ayer.
Sesi lawatan rombongan pertama ke Pusat Biodiversiti Hutan Tropika, Sungai Liang hari ini, jelasnya, akan diikuti dengan rombongan lawatan sekolah yang lain pada 8, 10 dan 19 Ogos nanti. Ia diharap dapat meningkatkan pendedahan pelajar khususnya tentang biodiversiti di negara ini.