Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mitsubishi tarik diri daripada tiga projek tenaga angin

    TOKYO, 27 OGOS – Mitsubishi dari Jepun menarik diri daripada tiga projek tenaga angin yang dianggap tidak lagi menguntungkan, kata syarikat itu hari ini, satu tamparan hebat bagi sumber tenaga boleh diperbaharui yang dianggap negara itu sebagai ‘mengejutkan’.
     
    Konsortium yang diketuai oleh Mitsubishi Corporation telah dipilih kerajaan pada 2021 untuk membangunkan tiga projek luar pesisir sebagai sebahagian daripada usaha Jepun mengurangkan pelepasan karbon.
     
    Namun, “persekitaran perniagaan bagi tenaga angin luar pesisir telah berubah dengan ketara di seluruh dunia disebabkan faktor seperti rantaian bekalan yang ketat, inflasi, kadar pertukaran mata wang dan kadar faedah yang meningkat,” kata firma itu dalam satu kenyataan.
     
    Ketua Pegawai Eksekutif Mitsubishi Corporation, Katsuya Nakanishi berkata kos telah ‘melonjak jauh melebihi jangkaan’ susulan faktor seperti pandemik Covid-19 dan krisis Ukraine.
     
    “Kami membuat kesimpulan bahawa membangunkan pelan perniagaan yang berdaya maju adalah tidak mungkin,” katanya pada sidang akhbar hari ini, menyifatkan keputusan itu sebagai amat sukar.
     
    Penarikan diri Mitsubishi tidak bermakna projek tersebut dibatalkan sepenuhnya, walaupun kini masa depannya berdepan tanda tanya besar.
     
    Jepun dalam dasar tenaganya yang diluluskan tahun ini menyatakan bahawa tenaga angin luar pesisir adalah ‘sumber berharga’ dalam usaha menjadikan tenaga boleh diperbaharui sebagai sumber tenaga utama menjelang 2040. – AFP
     
    Katsuya Nakanishi menjawab soalan pada sidang akhbar berhubung penarikan diri syarikat itu daripada projek tenaga angin luar pesisir, di Tokyo, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda