Penyanyi MK tampil bersuara mengenai isu buli yang semakin membimbangkan terutamanya melibatkan kes dalam kalangan pelajar sekolah.
Mengimbau kembali kenangan di zaman persekolahan, MK atau Muhammad Hairi Amin Hamdan, 29, mengakui dia pernah melalui dua sisi pengalaman berbeza iaitu menjadi mangsa dan pelaku buli.
Pun begitu, kata MK budaya buli ketika itu tidak seteruk zaman sekarang sehingga mencederakan orang lain.
“Saya ada pengalaman membuli dan dibuli. Tapi waktu itu kita membuli bukan tahap seperti apa yang berlaku sekarang ini.
“Pada zaman saya dulu buli mungkin sekadar mengejek nama bapa, tidaklah sampai tahap nak mencederakan orang,” katanya kepada mStar.
MK berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media majlis pembukaan cawangan PTTI Shah Alam di Seksyen 13 Shah Alam pada Sabtu.
Dalam pada itu, MK memberitahu dia berasa kesal setiap kali mendengar berita tentang gejala buli yang berlaku di sekolah.
Kata MK, pihak berkuasa harus mengambil langkah membanteras dengan segera agar kejadian buli tidak lagi berlaku dalam masyarakat kita.
“Bila saya baca berita dan kes yang berlaku di Sabah baru-baru ini, hati saya luluh. Bagi saya semua pihak perlu ambil tindakan dan cari inisiatif untuk membasmi kes buli di sekolah.
“Saya rasa tak patut kejadian buli ini berlaku sampai seteruk sekali. Banyak pihak perlu ambil tindakan dalam kadar segera sebelum kes-kes buli lain terjadi,” ujarnya.
Tidak menafikan pengaruh buli mungkin berlaku berpunca pengaruh daripada filem dan drama, namun MK berharap semua pihak dapat memainkan peranan penting dalam mencegah masalah serius ini.
“Mungkin juga disebabkan pengaruh televisyen tapi saya rasa semua perlu main peranan. Lebih-lebih lagi di sekolah asrama, ibu bapa dan guru perlu bertanggungjawab untuk ambil tindakan membanteras. Isu berat seperti buli ini tak boleh dipandang sambil lewa,” katanya. – Agensi


