MANCHESTER, 31 Jan – Henrikh Mkhitaryan menegaskan Manchester United memandang kesemua empat persaingan kejuaraan dengan serius ketika mereka bergelut untuk menyaingi jadual perlawanan yang begitu padat.
Skuad Jose Mourinho merupakan satu-satunya kelab di England yang masih terlibat dalam empat persaingan kejuaraan, Liga Perdana, Liga Europa, Piala FA dan Piala Liga, yang mana mereka tidak sabar untuk bertemu di Wembley menentang Southampton bulan depan.
Kejayaan mereka bermakna United mungkin menghadapi 67 perlawanan, jika mereka mara dalam dua kejohanan piala, dan telah mencetuskan kritikan Mourinho terhadap jadual perlawanan England dengan mengatakannya ‘tidak masuk akal’.
Tetapi selepas hujung minggu lepas yang mana sejumlah pasukan Liga Perdana telah disingkirkan daripada Piala FA kerana lebih memilih kesebelasan yang ‘lemah’, Mkhitaryan mendakwa United mahu kejayaan dalam setiap kejohanan yang disertai.
“Kami memandang kesemua persaingan dengan serius,” katanya.
“Bagi Manchester United, setiap piala adalah sangat penting.”
“Piala adalah piala. Ia tidak kira sama ada ia Piala Liga, Piala FA atau Liga Europa. Kami mahu melakukan yang terbaik untuk memenangi semuanya.”
United akan berdepan dengan pasukan bergelut, Hull City bagi aksi Liga Perdana di Old Trafford Khamis ini, dengan Mourinho kemungkinan besar membuat beberapa perubahan dalam pemilihan pemainnya.
Kemenangan Piala FA hujung minggu lepas ke atas Wigan telah menyaksikan pengurus United itu telah membuat sembilan perubahan daripada kesebelasan perlawanan sebelumnya, dengan memberikan penampilan pertama kepada Axel Tuanzebe dan penjaga gol, Joel Pereira sebagai pemain gantian.
Mkhitaryan mendakwa persaingan untuk mendapat tempat bagi kesebelasan utama, dan kemunculan beberapa pemain muda berbakat di Old Traford memberikan satu persaingan sihat.
“Sangat bagus untuk mereka bermain perlawanan pertama mereka. Sebagai seorang pemain, apabila pemain muda datang ke skuad, anda perlu membantu mereka dan menawarkan mereka nasihat, dan saya fikir mereka berdua melakukan tugas yang baik dalam apa yang dikatakan pengalaman yang besar untuk mereka.” – AFP