MOSCOW, 26 Sept – Kunjungan ke Rusia secara tradisinya dilihat sebagai tugas berat buat kelab-kelab Inggeris, tetapi Henrikh Mkhitaryan tidak akan mempunyai masalah menyesuaikan diri ketika Manchester United berkunjung ke CSKA Moscow minggu ini.
Pemain tengah pantas itu dilahirkan di Yereven pada Januari 1989, ketika ibu negara Armenia masih sebahagian daripada Kesatuan Soviet.
“Nenek saya berada dari Moscow. Saya kerap berbahasa Rusia di rumah bersamanya,” kata Mkhitaryan di laman sesawang Shakhtar Donetsk pada tahun 2013.
United bakal berdepan CSKA di VEB Arena dalam aksi Liga Juara-Juara pagi Khamis ini, mahu meneruskan momentum selepas menang perlawanan pembukaan 3-0 ke atas FC Basel bagi Kumpulan A.
Mkhitaryan, 28, menjaringkan gol dalam kunjungan mereka sebelum ini pada bulan Mac, gol di laman luar menentang FC Rostov memberikan laluan bagi kemenangan agregat 2-1 dalam aksi peringkat 16 terakhir Liga Europa.

Bekas pemain Borussia Dortmund itu terbukti menjadi pemain penting bagi United di kejohanan itu.
Enam golnya dalam kejohanan itu termasuk satu gol dalam setiap perlawanan suku akhir menentang Anderlecht dan penyudah jarak dekat di separuh masa kedua memastikan United menang 2-0 ke atas Ajax di final Stockholm.
“Perlawanan terbaik dalam hidup saya adalah final Liga Europa musim lepas,” katanya.
“Itu kerana ia adalah trofi Eropah pertama saya dan yang pertama bagi pemain bola sepak Armenia.
“Tidak seorang pun dari Armenia pernah mencapai tahap itu sebelum ini. untuk bermain di final Eropah dan menjaringkan gol, menjadikan ia perlawanan terbaik yang pernah saya beraksi.” – AFP