Wednesday, October 9, 2024
29 C
Brunei

    Berita Terkini

    MKIANBD2024: Peluang emas untuk penggiat seni khat

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OKT – Mahrajan Kaligrafi Islam Antarabangsa Negara Brunei Darussalam 2024 (MKIANBD2024) akan berlangsung selama tiga hari bermula 16 hingga 18 Oktober di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.
     
    MKIANBD2024 adalah projek julung kalinya dikendalikan secara berkolaborasi oleh Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) melalui Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam YSHHB (PPKKI-YSHHB) bersama dua buah institusi pengajian tempatan iaitu Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dan sebuah institusi luar negara iaitu Pusat Penyelidikan Islam dan Kesenian, Sejarah dan Kebudayaan Islam (IRCICA), Republik Turkiye.
     
    Dengan tema Pemberdayaan Seni Kaligrafi Islam, beberapa program telah dirancang sepanjang MKIANBD2024 yang diungkayahkan oleh keempat-empat penganjur bersama.
     
    Perkara itu telah dikongsi semasa taklimat mengenai MKIANBD2024 yang berlangsung di PPKKI-YSHHB, Rumah Semaun, Jalan Jerambak, hari ini.
     
    Hadir menyertai sesi taklimat itu ialah Pemangku Penolong Pengarah Urusan (Perkhidmatan Projek Khas), Awang Samsudin bin Haji Puasa dan Pemangku Pegawai PPKKI-YSHHB, Awang Hamdy bin Emran.
     
    Awang Samsudin (tengah) semasa menyampaikan taklimat bersama ahli-ahli yang terlibat dalam MKIANBD2024. – GAMBAR OLEH ROKIAH MAHMUD
    GAMBAR OLEH ROKIAH MAHMUD
    Turut menyertai dalam sesi taklimat itu ialah Penolong Raes (Penyelidikan, Pengantarabangsaan dan Perkhidmatan), KUPU SB, Dr Haji Abang Hadzmin bin Haji Abang Taha dan Timbalan Pengarah (Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa), UNISSA, Dr Norashikin binti Yusof.
     
    Orang ramai khususnya para penggiat seni khat tanah air dan luar negara dialu-alukan menyertai mahrajan itu dengan hanya dikenakan bayaran pendaftaran.
     
    Peserta akan berpeluang mengikuti beberapa buah pembentangan dan bengkel kaligrafi Islam yang akan disampaikan oleh beberapa pakar khat antarabangsa dan tempatan antaranya Belaid Hamidi dari Maghribi, Efdaluddin Kilic, Seyyid Ahmet Depeler dan Necati Sancaktutan masing-masing dari Turkiye.
     
    Sementara itu, Dr Abdul Rahman bin Hamzah dari Malaysia, Didin Sirojuddin dari Republik Indonesia dan Dr Haji Mohammad Shahrol Azmi bin Haji Muluk serta Awang Adiyusnira bin Haji Johari dari Negara Brunei Darussalam.
     
    Selain itu, peserta juga berpeluang mengikuti Pertandingan Seni Khat Spontan yang dianjurkan oleh PPKKI-YSHHB yang menawarkan hadiah yang menarik dan orang ramai khususnya penggiat seni dialu-alukan bagi mengunjungi pameran Kaligrafi di bilik Muzakarah sepanjang Mahrajan berlangsung di pusat berkenaan.
     
    Pameran kaligrafi itu akan mempertunjukkan hasil karya para pemenang Pertandingan Seni Khat Peringkat Serantau Asia 2024, koleksi karya kaligrafi PPKKI-YSHHB, UNISSA, KUPU SB dan juga IRCICA.  
     
    Dua orang pakar kaligrafi Islam iaitu Efdaluddin Kilic dan Belaid Hamidi juga akan mempersembahkan tatacara penulisan kaligrafi.
     
    Pertandingan Seni Khat Peringkat Serantau ASIA 2024 anjuran IRCICA, Republik Turkiye dengan kerjasama PPKKI-YSHHB telah menerima 158 penyertaan dari 19 buah negara.
     
    Pertandingan tersebut dibahagikan kepada empat kategori iaitu, hanya 11 buah negara ASIA yang berjaya diterima untuk dihakimi dan negara-negara itu ialah Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand, Jepun, Bahrain, Saudi Arabia, Syria, Pakistan dan Turkiye termasuk Negara Brunei Darussalam.
     
    Manakala daripada jumlah tersebut, 12 pemenang iaitu tiga orang pemenang daripada setiap kategori akan menerima hadiah semasa Majlis Pelancaran Mahrajan nanti.
     
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda